fbpx

Kisah 4 sekawan suka lepak tanah perkuburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Geng Kubur mengisahkan tentang empat orang sahabat baik yang menjadikan aktiviti melepak di tanah perkuburan sebagai kegiatan utama mereka.

PENGALAMAN tinggal di kawasan tanah perkuburan menjadi pencetus idea buat pengarah, Gavin Yap untuk menghasilkan filem berjudul Geng Kubur.

Atas pengalaman yang pernah dilalui itu, maka tercetus idea buat Gavin untuk memilih tanah perkuburan sebagai lokasi untuk ‘melepak’, walaupun dianggap sebagai aktiviti pelik.

Bagi Gavin sendiri, tiada perkara yang mustahil memandangkan perbuatan tersebut memang selalu dilakukan sejak berpindah semula ke Malaysia setelah berhijrah ke United Kingdom dan tinggal di kediaman yang terletak berhampiran dengan kawasan perkuburan.

“Saya tidak pasti sama ada secara kebetulan atau tidak, apabila kami menetap di Damansara Utama, rumah kami terletak hampir dengan tanah perkuburan. Setelah berpindah ke Pulau Pinang, kediaman kami juga masih dekat dengan kubur.

Filem Geng Kubur menampilkan barisan pelakon-pelakon muda seperti Firdaus Sufiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran selaku teraju utama.

“Jadi, boleh dikatakan melepak di kawasan tanah perkuburan memang menjadi antara aktiviti saya bersama rakan-rakan ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya yang pernah mengarahkan filem Dendam Pontianak bersama Glen Goei.

Pengalaman tersebut sekali gus memberikan idea buat dirinya untuk menghasilkan sebuah filem yang berkaitan dengan aktiviti membabitkan tanah perkuburan.

Bercerita lebih lanjut mengenai Geng Kubur, Gavin berkata, filem tersebut mengisahkan tentang empat orang sahabat baik yang menjadikan aktiviti melepak di tanah perkuburan sebagai kegiatan utama mereka.

Geng Kubur bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi turut menitikberatkan kepada perjalanan kehidupan setiap watak iaitu empat orang sahabat.

“Di sebalik kegemaran melepak di kawasan kubur, masing-masing ada kisah sendiri yang telah menghantui kehidupan mereka,” ujarnya.

Filem Geng Kubur menampilkan barisan pelakon-pelakon muda seperti Firdaus Sufiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran selaku teraju utama.

Pengambaran, kelainan

Menurut Gavin, penggambaran dilakukan pada September 2022 di beberapa buah lokasi seperti di Hulu Langat, Bandar Utama dan Kampung Baru.

Mengenai harapannya untuk filem ini, Gavin berkata, dia mengharapkan naskhah terbaharu itu dapat diterima dan menghiburkan penonton.

Ujarnya, dia yakin mereka yang menonton akan mengenang kembali kehidupan semasa zaman persekolahan dahulu.

“Saya percaya, setiap penonton akan melihat ‘diri’ mereka dalam setiap watak yang ditampilkan. Naskhah ini bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi lebih daripada itu,” ujarnya.

Sementara itu, Michael Chen selaku penerbit eksekutif menjelaskan, pihaknya tertarik untuk menerbitkan Geng Kubur kerana kelainan yang ditampilkan.

Michael berkata, Geng Kubur bukanlah sekadar mahu menonjolkan seram semata-mata, tetapi turut menyelitkan beberapa elemen lain untuk diangkat menjadi sebuah filem.

“Selain elemen seram, antara tarikan dan kelainan filem ini adalah ia mengangkat tentang tema persahabatan, kekeluargaan dan penerimaan diri.

“Dalam filem ini, setiap watak utama tidak menjalani kehidupan yang sempurna dan mereka perlu berhadapan isu yang melanda diri masing-masing. Boleh dikatakan, ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton,” ujarnya.

Kos pembikinan

Mengenai kos pembikinan pula, Michael mendedahkan kos keseluruhan untuk menghasilkan Geng Kubur adalah sebanyak RM1.2 juta.

Namun begitu, beliau menyatakan dapat menerbitkan filem berkenaan telah memberi kepuasan tersendiri buat dirinya.

“Saya dah Gavin sudah lama berkawan dan berkerjasama dalam pelbagai projek sejak tahun 2006. Apabila dia mencadangkan idea filem ini, saya percaya karya ini adalah sebuah naskhah yang sangat menarik untuk diterbitkan menjadi sebuah filem.

“Selain itu, saya juga mempunyai pasukan produksi yang telah memberikan kerjasama sangat baik sepanjang penggambaran. Saya sendiri tidak sabar untuk filem ini ditonton oleh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, filem ini juga turut mendapat maklum balas daripada mereka yang telah menontonnya dalam tayangan yang dibuat secara tertutup.

“Rata-rata yang menonton juga memuji keserasian keempat-empat barisan pelakon. Malah, ada penonton yang mengimbas semula bahawa ada babak dalam filem pernah berlaku dalam diri mereka,” ujarnya.

Diterbitkan Iron Hill Media Sdn. Bhd., filem Geng Kubur akan menemui penonton di pawagam mulai 25 April depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI