‘Shelly-Ann’ bantu Azeem ke Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Shelly-Ann Fraser-Pryce mungkin tidak begitu dikenali dalam kalangan peminat sukan tanah air yang kurang mengikuti perkembangan olahraga antarabangsa berbanding legenda dunia seperti Usain Bolt.

Namun, ratu pecut Jamaica itu adalah salah seorang pelari paling berjaya di dunia menerusi pelbagai pencapaian luar biasa sejak 2008 sehingga kini sebelum bersara selepas berakhir Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Biarpun sudah berusia 38 tahun, tetapi jurulatih olahraga Universiti Alabama, Ken Harnden merasakan teknik larian pemenang tiga pingat emas Sukan Olimpik itu mampu memberikan manfaat kepada anak didiknya, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi.

Harnden, 50, yang pernah beraksi di dua Sukan Olimpik, percaya bintang pecut kebangsaan itu mampu merealisasikan impiannya berlari 100 meter (m) dengan catatan masa bawah 10 saat (s) jika dapat menerapkan teknik tersebut dalam lariannya.

Biarpun ada yang mempertikaikan teknik tersebut sudah lapuk dan tidak moden, tetapi Harnden menyifatkan gaya larian itu sebagai ‘old but gold’ kerana masih diamalkan oleh kebanyakan pelari handalan terutamanya dari Jamaica.

Malah, Azeem sendiri berkongsi kepada penulis bagaimana teknik larian itu mengajarnya erti sabar selepas keluar dari blok permulaan sebelum ‘meletup’ di penghujung perlumbaan.

Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.09s itu mendedahkan, dia mula menerapkan gaya larian tersebut selepas berakhirnya Kejohanan Olahraga Dunia 2027 di Budapest, Hungary pada Ogos tahun lalu.

Hasilnya dapat dilihat apabila atlet 19 tahun dari Teluk Intan, Perak itu berjaya menaiki podium sebulan kemudian sebagai pemenang pingat gangsa acara 100m pada Sukan Asia Hanzhou di China menerusi catatan 10.11s.

“Benar teknik ini agak lama kalau dibandingkan dengan apa yang pelari-pelari lain amalkan seperti berlari dengan weight (bebanan). Saya tidak katakan salah kerana masing-masing ada cara tersendiri.

“Sejak berlari dengan teknik Shelly-Ann, saya dapat rasakan penamat lebih bagus dan permulaan saya tidak ‘keras’ seperti dahulu,” kata Azeem.

Kini, Azeem mempunyai tempoh lebih kurang tiga minggu untuk memahirkan diri dengan teknik tersebut memandangkan dia tidak mengambil bahagian dalam apa-apa kejohanan bagi menghormati bulan Ramadan.

Pertandingan bakal disertainya selepas ini sama ada Kejohanan Jemputan Tom Jones di Gainesville, Florida (12-13 April) atau Kejohanan Tiger Track Classic di Auburn, Alabama pada 20 April nanti.

Seandainya Azeem gagal mencetak masa 10s dalam baki tujuh atau lapan pertandingan selepas itu, Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun depan bakal menjadi pentas terakhir buat Azeem untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Jika gagal layak secara merit, Azeem masih ada dua cara ke bumi Paris sama ada menerusi kedudukan ranking dunia atau tiket wildcard daripada World Athletics.

Kesatuan Olahraga Malaysia mungkin menawarkan tiket wildcard kepada Azeem jika tiada mana-mana atlet olahraga lelaki negara yang lain layak merit ke Olimpik Paris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN