fbpx
MOHD. NA’IM meminta semua pihak bertenang dan sabar menunggu siasatan yang dijalankan pihak berkuasa berhubung isu stoking tertera kalimah Allah ketika ditemui di Ibu Pejabat Kosmo!, Petaling Jaya semalam.

Mohon maaf tidak cukup, perlu dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan permohonan maaf sahaja tidak mencukupi bagi menutup kesalahan yang telah dilakukan pihak yang terlibat dengan penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Menurutnya, hukuman se­timpal perlu dikenakan supaya ia menjadi pengajaran kepada pihak yang cuba menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

“Budaya kita memang digalakkan untuk memohon maaf, tetapi kita tidak mahu setiap kali jadi isu seperti ini (stoking kalimah Allah), kita hanya
minta maaf.

“Perkara seperti ini (penjualan stoking kalimah Allah) perlu menjadi pengajaran kepada pihak KK Mart, vendor (pembekal) supaya lebih berhati-hati melibatkan isu 3R,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk mengadakan pertemuan dengan kepimpinan ter­tinggi Kumpulan KK Mart.

“Pertemuan telah berlangsung kira-kira pukul 10 pagi tadi (semalam) seterusnya memberi ruang kepada pihak Jakim untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

“Saya dimaklumkan laporan polis juga telah dibuat. Begitu juga dengan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Kos Sara Hidup).

“Jadi, kita akan tunggu siasatan dan laporan daripada (pihak terlibat) semoga daripada laporan itu boleh kita kenal pasti (punca dan bagaimana ia berlaku), sebelum tindakan seterus­nya boleh diambil,” ujarnya.

STOKING tertera kalimah Allah dikesan di tiga cawangan KK Mart.

Justeru itu, Mohd, Na’im menyeru kepada masyarakat dan umat Islam supaya tenang dan sabar untuk menunggu siasatan yang sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan memanggil beberapa pihak termasuk KK Mart serta saksi pen­ting bagi membantu siasatan kes berkenaan dalam masa terdekat.

“Siasatan sedang dijalankan, kita akan panggil saksi-saksi berkaitan kes ini,” katanya.
Razarudin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya menyentuh sensitiviti berkaitan 3R.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis telah menerima sebanyak 42 laporan dari seluruh negara berhubung isu penjualan stoking tertulis kalimah Allah itu.

“Kita telah membuka dua kertas siasatan setakat hari ini (semalam), dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Ke­seksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr. KK Chai melahirkan rasa kesal atas penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di salah sebuah cawangannya baru-baru ini.

Beliau berkata, kesilapan seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang tempoh 23 tahun mengusahakan perniagaan tersebut.

Sehubungan itu, beliau turut meminta maaf atas penjualan stoking berkenaan.

Jelasnya, produk itu disediakan pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN