fbpx
Beberapa anggota Power of Mama meronda kawasan hutan menggunakan motosikal untuk memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan Barat, Indonesia.

Ibu-ibu ‘gagah’ bentuk pasukan bomba hutan padam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM menjalankan tugas, sudah menjadi rutin buat Siti Nuraini untuk menyapu krim pelindung matahari buatan sendiri yang diperbuat daripada beras dan daun pandan pada mukanya.

Dia yang tinggal di sebuah rumah kayu kecil bersebelahan dengan hutan di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia sentiasa bersiap sedia untuk menjalankan tugas sebagai anggota bomba sukarela.

Siti Nuraini juga merupakan penyelaras Power of Mama iaitu unit pemadam kebakaran yang terdiri daripada golongan wanita.

Unit yang ditubuhkan pada 2022 itu bertujuan melindungi kesihatan dan mata pencarian masyarakat setempat serta membantu memelihara alam sekitar.

Ini kerana, kebakaran hutan menjadi ancaman besar kepada penduduk dan hidupan liar di wilayah Borneo itu.

Siti Nuraini berkata, setiap tahun mereka akan berhadapan dengan kebakaran hutan.

“Asap menjadi sangat teruk sehingga penduduk terpaksa berpindah dan sekolah ditutup.

“Ramai kanak-kanak mengalami masalah pernafasan,” jelasnya kepada agensi berita BBC.

Hutan yang bersempadan dengan kampung Siti Nuraini di Pematang Gadung merupakan habitat kepada salah satu populasi orang hutan terbesar di Indonesia.

Ia juga merupakan kawasan tanah gambut, sekali gus menjadikannya ‘sinki karbon’ yang penting.

Walaupun tanah gambut membentuk tiga peratus daripada permukaan tanah global, namun ia menyimpan karbon dua kali lebih banyak daripada semua hutan di dunia.

Sepanjang abad lalu, peningkatan permintaan untuk pertanian telah menyebabkan pengurangan tanah gambut di seluruh dunia.

Untuk makluman, Indonesia adalah rumah kepada tanah gambut paling padat karbon di dunia.

Bagaimanapun, tanah gambut sangat terdedah kepada kebakaran hutan yang teruk, sekali gus menimbulkan risiko besar kepada hidupan liar, manusia dan biodiversiti di kawasan sekitar.

Pematang Gadung terletak di antara dua kawasan tanah gambut seluas 70 kilometer persegi.

Setiap tahun pada musim kemarau, penduduk di kampung itu berdepan ancaman baharu.

“Kebakaran di sini selalunya bermula di kawasan tanah gambut yang terdegradasi yang tidak dapat menampung air lagi,” kata Siti Nuraini.

Apabila kumpulan pemadam kebakaran Power of Mama ditubuhkan pada 2022, seramai 44 wanita menawarkan diri untuk turut serta.

Kumpulan itu kini mempunyai 92 ahli dari enam kampung berdekatan dengan umur antara 19 hingga 60 tahun.

Kebanyakan ahli adalah suri rumah, namun ada juga wanita bekerja dan lebih muda turut menyertai unit itu baru-baru ini.

Menurut Siti Nuraini, kebiasaannya, dia bangun seawal subuh untuk memasak nasi dan mengemas rumah.

Kemudian, sekitar 9.30 pagi, dia menuju ke hutan dengan motosikal bersama enam rakan wanita lain.

Dia memakai tudung coklat dengan baju lengan panjang yang tertera perkataan ‘The Power of Mama’ dan kasut getah paras lutut.

SEBAHAGIAN anggota Power of Mama yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran tanah gambut di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia.

Kumpulan itu, menjalankan tugas rondaan, melawat petani yang menanam kacang, pisang, cili, kubis dan labu.

Petani di situ mengamalkan pertanian tebang dan bakar, di mana tutupan hutan dan tumbuh-tumbuhan lain ditebang dan dibakar untuk membersihkan tanah.

Kaedah pertanian itu dibenarkan oleh kerajaan tempatan, selagi ia berlaku di kawasan yang berkeluasan kurang daripada 20,000 meter persegi.

Sementara itu, Power of Mama bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kampung untuk mengenal pasti petani yang membersihkan tanah mereka dengan membakar.

Kumpulan itu menggalakkan mereka untuk membakar tanah di bawah kawalan dengan mengamalkan pengurusan kebakaran.

Ia bagi memelihara kepelbagaian ekologi dan melindungi masyarakat daripada kebakaran teruk.

Kumpulan itu juga membantu petani meningkatkan produktiviti tanah dengan menggalakkan mereka menggunakan baja organik.

Ia bertujuan menjana kembali nitrogen ke dalam tanah dan meningkatkan pertumbuhan tanaman, dan tidak bergantung pada pertanian tebas serta bakar.

“Amalan ini bukan sahaja melindungi alam sekitar kita, malah memastikan daya maju jangka panjang pertanian sambil mengurangkan kesan perubahan iklim,” jelas Siti Nuraini.

Sementara itu, Juriah, 60, yang merupakan ahli Power of Mama yang paling tua berkata, dia menggalakkan petani untuk menguruskan tanah mereka seperti dilakukan oleh orang zaman dahulu.

“Matlamatnya adalah untuk mengekalkan tanah gambut daripada berasid.

“Petani boleh menggunakan campuran gula perang, nanas, pes udang, dedak dan ubi kayu untuk menyuburkan tanaman mereka,” terangnya.

Pada musim kemarau, risiko kebakaran lebih tinggi. Jadi, kumpulan itu membuat rondaan pada setiap hari untuk memastikan potensi kebakaran dikesan seawal mungkin.

Mereka juga sering menerima laporan kebakaran daripada penduduk kampung yang semakin percaya dengan usaha kumpulan itu.

Kadangkala, laporan itu membawa mereka ke kawasan yang sukar untuk diakses.

Salah seorang anggota Power of Mama memantau kebakaran hutan tanah gambut supaya tidak merebak.

Misalnya, terpaksa menggunakan sampan untuk masuk ke kawasan kebakaran atau dron bagi mendapatkan pemandangan lebih baik.

Apabila mereka menghadapi kebakaran, Siti Nuraini mengarahkan ahli lain untuk mengambil hos dan mula mengepam air memadamkan api.

Pada tengah hari, kumpulan rondaan akan makan tengah hari ringkas di rumah Siti Nuraini.

Dalam pada itu, unit Power of Mama telah ditubuhkan oleh Yayasan Permulaan Pemulihan Alam Indonesia (YIARI).

Pengarah YIARI, Karmele Llano Sanchez berkata, pihaknya memutuskan untuk mewujudkan skuad pemadam kebakaran pertama wanita di Borneo selepas seorang petani tempatan membakar untuk membersihkan tanah.

Ujarnya, kakitangan YIARI meminta lelaki itu memadamkan api, tetapi dia tidak mengendahkannya.

“Kemudian, kami memberitahu isterinya dan lelaki itu terus menyatakan dia akan memadamkan api,” kata Karmele.

Pengalaman itu menunjukkan bahawa wanita boleh membantu mengubah sikap masyarakat terhadap pencegahan kebakaran.

Sementara itu, YIARI melatih ahli Power of Mama untuk memadam kebakaran, mengendalikan dron dan menyampaikan ceramah umum bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya kebakaran tanah gambut.

Karmele menjelaskan, bukan mudah untuk menjadi anggota bomba sukarela di kawasan tanah gambut.

“Kebakaran tanah gambut sukar untuk dikesan kerana ia berlaku di bawah tanah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN