fbpx

Sasar kumpul 300,000 kg minyak masak terpakai – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (tengah) diiringi oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi), Datuk Razali Mohamad (kiri) dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani melakukan gimik meletakkan minyak masak terpakai ke dalam tong kutipan sebagai simbolik pelancaran Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sempena Ikhlas Ramadan bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur. Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sebanyak 300,000 kilogram (kg) minyak masak terpakai disasarkan untuk dikumpulkan sepanjang tahun ini menerusi Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai, dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia menjaga alam sekitar.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, program tersebut merupakan usaha bersama antara Petronas Dagangan Berhad dan Kementerian Perladangan dan Komoditi yang mana berjaya mengumpul 205,000 kg minyak masak terpakai bermula Julai 2023 hingga Februari lalu.

Menurutnya, minyak masak terpakai itu dikumpulkan dengan penyertaan seramai 11,593 orang awam di 35 stesen minyak Petronas terpilih di seluruh negara.

“Sehubungan itu, KPK dan Petronas menyasarkan perluasan ke 55 stesen minyak Petronas terpilih di seluruh negara secara berperingkat dengan sasaran penyertaan seramai 15,000 orang awam.

“Harga pembelian semula minyak masak terpakai ditawarkan oleh pihak Petronas adalah RM3 ringgit sekilogram, manakala RM2.50 sekilogram bagi kawasan di Semenanjung Pantai Barat, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sempena Ikhlas Ramadan bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan Desa Pandan di sini hari ini.

Johari berkata, program tersebut adalah langkah proaktif pihak Petronas secara khususnya, dan negara secara amnya sebagai persediaan untuk mengkomersialkan biobahan api penerbangan yang lestari atau Sustainable Aviation Fuel (SAF) bagi memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon di sektor penerbangan antarabangsa menjelang tahun 2050.

Ujarnya, amalan menjual semula minyak masak terpakai seharusnya dijadikan budaya kepada masyarakat memandangkan ia tidak boleh dibuang sewenang-wenangnya.

“Malah, program ini berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah serta mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari menggunakan minyak masak terpakai bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI