fbpx
PERSAINGAN merebut takhta Liga Perdana Inggeris pada musim ini dilihat cukup menarik.

Liverpool ada kelebihan julang trofi EPL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSAINGAN merebut takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini dilihat cukup menarik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Apa tidaknya, pada musim ini ada tiga kelab gergasi iaitu Liverpool, Arsenal dan Manchester City (City) bersaing sengit memburu kejuaraan EPL.

Menariknya, ketiga-tiga kelab ini dipisahkan dengan margin cukup kecil di mana Arsenal dan Liverpool berkongsi 64 mata (dipisahkan perbezaan gol), manakala City kurang satu mata sahaja.

Dengan berbaki 10 lagi perlawanan untuk diharungi, ketiga-tiga kelab ketika ini cuba mencongak mata maksimum yang boleh diperolehi daripada kesemua lawan ditentang.

Hasil pembacaan penulis dalam beberapa artikel di United Kingdom (UK), semuanya mempunyai pendapat berbeza mengenai kelab yang bakal menjulang piala EPL pada 19 Mei (perlawanan terakhir liga) nanti.

Dalam satu artikel, Arsenal dijangka memenangi EPL kerana The Gunners sedang memimpin carta liga ketika ini dengan perbezaan gol besar.

Kelab di Utara London itu dijangka boleh mengutip mata maksimum apabila turun beraksi dalam 10 perlawanan terakhir terutamanya dengan prestasi memuncak ketika ini.

Bagaimanapun, penulis merasakan Arsenal akan tercicir mata menentang tiga lawan ‘besar’ iaitu City, Spurs dan Manchester United di gelanggang lawan nanti, sekali gus menyukar peluang mereka menjulang EPL musim ini.

Ada lagi satu artikel yang menjangkakan City akan mengekalkan kejuaraan EPL mereka. Ini atas dasar konsistensi anak-anak buah Pep Guardiola mencatatkan keputusan cemerlang dalam setiap perlawanan.

Namun, penulis merasakan City juga tidak mampu mengutip mata maksimum pada 10 perlawanan terakhir terutamanya ketika menentang Arsenal, Aston Villa dan Spurs. Lagi pula, mereka masih bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah dan ini boleh mengganggu fokus pemain.

Satu lagi artikel meramal Liverpool boleh menjuarai EPL kerana dijadual bertemu lawan lebih mudah pada 10 perlawanan terakhir. Satu saja perlawanan yang dilihat agak sukar dimenangi oleh Liverpool iaitu menentang United digelanggang lawan.

Namun, tiada yang mustahil kerana The Reds pernah membelasah United di Old Trafford sebelum ini. Penulis juga merasakan Liverpool ada peluang sangat cerah untuk memenangi EPL pada musim .

Terdapat tiga alasan kelab bimbingan Jurgen Klopp itu boleh menang EPL musim ini, pertamanya adalah faktor pulangnya Mohamed Salah dalam skuad daripada belenggu kecederaan.

Faktor kedua, 10 lawan yang bakal ditentang dilihat ‘mudah’. Akhir sekali, setiap pemain pasti akan memberi aksi terbaik untuk menghadiahkan kejuaraan EPL kepada Klopp sebagai tanda perpisahan pada akhir musim ini.

Menarik untuk disaksikan kelab mana yang mampu menyerap tekanan pada akhir musim ini. Jadi, sama-samalah kita nantikan pasukan mana akan menjulang piala EPL.

Apapun kesudahannya pada Mei nanti, para peminat ketiga-tiga pasukan perlu terima dengan hati terbuka kerana setiap pemain sudah berikan yang terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN