fbpx

Malaysia kecam serangan udara ke atas kem Al-Nuseirat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - Foto AFP

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara tidak bertanggungjawab dilakukan oleh rejim Israel ke atas kem Al-Nuseirat di Semenanjung Gaza.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, serangan berkenaan menyebabkan lapan rakyat Palestin terkorban dan mencederakan lebih dari 20 orang yang merupakan petugas dalam persiapan mengagih bekalan makanan.

Jelasnya, bekalan berkenaan hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan untuk Rakyat Palestin (AAKRP) dan diuruskan oleh Ops Ihsan.

Katanya, tindakan keganasan oleh Israel terhadap orang awam yang tidak bersalah ini jelas mengabaikan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Serangan terhadap penduduk Palestin ini juga merupakan satu pencabulan besar terhadap hak asasi mereka untuk hidup dengan aman, selamat dan tenteram.

“Mereka yang berada di kem tersebut adalah rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bukan ancaman kepada rejim Israel, tetapi hanya menjalankan tanggungjawab kemanusiaan mereka terhadap sesama penduduk Palestin,” katanya dalam kenyataan tadi.

Wisma Putra berkata, bagi memastikan keselamatan rakyat Palestin, masyarakat antarabangsa digesa untuk campur tangan dengan segera dan tegas serta meminta rejim Israel supaya bertanggungjawab atas ketidakpedulian mereka secara terang-terangan terhadap nyawa manusia.

“Keadilan mesti ditegakkan dan langkah-langkah diambil untuk mengelakkan insiden sama berulang lagi.

“Solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin mesti diperluaskan bagi memastikan usaha mereka untuk mendapatkan keadilan, keamanan dan hak mereka dapat direalisasikan,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, Malaysia berpegang teguh dengan prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI