fbpx

Bekalan air bersih pun turut ‘berpuasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAYATHIRI menunjukkan tong yang digunakan untuk menadah air di hadapan rumahnya di Taman Seri Bayu Fasa 2, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Kemurahan hati seorang wanita India menyediakan banyak tong bagi menadah bekalan air bersih untuk membantu kegunaan jiran beragama Islam berpuasa di Taman Seri Bayu Fasa 2, di sini wajar dipuji.

Malah S. Gayathiri, 40, berkata, dia tidak kisah jiran-jirannya datang mengambil air di situ selepas lebih 100 keluarga di taman perumahan itu terpaksa menyambut Ramadan dalam suasana suram.

“Rumah saya menjadi tumpuan jiran untuk mengambil air bagi kegunaan membuat persediaan memasak juadah berbuka puasa sejak dua hari lalu.

“Saya menyediakan tong yang banyak dan tiada masalah berjaga untuk menadah air setiap hari yang turut boleh digunakan jiran. Inilah masanya saya bantu mereka terutamanya ketika bulan puasa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Keadaan itu menyebabkan suri rumah di kawasan tersebut tidak dapat menguruskan ke­luarga mereka dengan teratur terutamanya untuk memasak juadah berbuka dan bersahur selain membersihkan diri.

Lebih memeritkan apabila mereka terpaksa berjaga sehingga awal pagi untuk menadah air melalui pili di rumah masing-masing.

NIK AYU menyusun tong untuk menadah bekalan air bersih di rumahnya di Taman Seri Bayu Fasa 2, Sungai Petani semalam.

Seorang penduduk, Nik Ayu Nik Aman, 38, berkata, gangguan bekalan air telah berlarutan sejak dia mendiami perumahan itu lebih lima tahun lalu.

“Kekerapan gangguan sema­kin ketara akhir-akhir ini dan lebih teruk ketika umat Islam sedang berpuasa. Letih nak berjaga untuk tadah air dan kerap juga buang masa kerana ada waktunya bekalan tiada langsung setelah lama menunggu,” katanya.

Dia juga terpaksa membeli air botol di kedai untuk minum selain membasuh pakaian di dobi setiap dua hari.

Muhammad Fauzan Hussin, 42, pula berkata, dia sekeluarga seperti hilang arah kerana bekalan air bersih tiba-tiba terputus empat hari sebelum berpuasa.

“Saya mempunyai dua anak berusia 14 dan 16 tahun yang masih bersekolah dan kami perlu mandi untuk membersihkan diri. Ketiadaan air sehingga kini memang memenatkan kerana selain terpaksa beli air botol, saya perlu angkut dari luar untuk kegunaan kami sekeluarga,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Sarimah Nayan, 51, mendakwa, kawasan mereka tidak pernah menerima bekalan air yang dihantar Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan terpaksa bergantung kepada air yang ditadah sendiri.

“Sepatutnya di bulan mulia ini kami menambah amalan tetapi disebabkan ketiadaan air, tum­puan untuk beribadah sedikit terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI