PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi mengekang ajaran ‘The Ahmadi, Religion of Light and Peace’ yang ketika ini masih aktif di media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini beliau berhubung secara langsung dengan Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang mempunyai kredibiliti dalam soal akidah.
“Kami di KDN akan bekerjasama dengan Menteri Agama dan membuat pemantauan. Sekiranya ada tanda-tanda yang agama itu (The Ahmadi) boleh menyebabkan gangguan ketenteraman awam, kami akan bertindak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.
Saifuddin memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan lanjut sekiranya wujud ancaman sehingga boleh menyebabkan suasana di negara ini tidak tenteram.
“Jika ada elemen pelanggaran dari segi akidah, itu merupakan direktori penguatkuasaan agama. Fokus KDN adalah sekiranya kewujudan kumpulan tersebut dan aktivitinya memberi kesan terhadap keamanan dan ketenteraman awam.
“Garis pemisahnya adalah jika berkait dengan akidah, ia tugas penguat kuasa agama. Jika ada potensi terhadap ketenteraman awam, KKDN akan ambil tindakan,” jelasnya.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihatkan umat Islam di negara ini supaya berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda ajaran ‘The Ahmadi Religion Peace and Light’ yang kini aktif di media sosial.
Menurut beliau, pengikut agama itu sebenarnya hanya berpura-pura sebagai penganut agama Islam dengan tujuan untuk menyesatkan dan menipu umat Islam.
“Saya menasihatkan umat Islam di negara ini supaya berpegang teguh dengan akidah sebenar seperti yang diajar oleh para ulama dan mereka yang bertauliah.
“Mereka hendaklah sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing jika ada ajaran-ajaran yang aneh atau meragukan,” katanya.
















