fbpx
ABU JAWAD melakukan kerja menyemadikan syuhada atas dasar fisabilillah. Secara keseluruhan, Abu Jawad telah mengebumikan lebih 17,000 orang sejak Oktober 2023. Paling ramai dalam sehari dia menguruskan 800 jenazah.

Abu Jawad penggali kubur syuhada Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM 7 Oktober tahun lalu, kehidupan Saadi Hassan Sulieman Baraka atau lebih dikenali sebagai Abu Jawad memiliki rutin biasa sebagai seorang petani.

Selepas menunaikan solat subuh, lelaki berusia 64 tahun itu akan menikmati dukkah (campuran kacang, bijirin dan rempah), zaatar (campuran herba kering) serta minyak buah zaitun sebagai sarapan.

Selesai sarapan, Abu Jawad akan menuju ke bahagian timur Deir el-Balah, Gaza, Palestin untuk merawat pokok kurma dan pokok zaitun miliknya.

Begitulah kehidupan harian penggali kubur itu sekiranya tiada sebarang kematian berlaku pada hari tersebut.

Bagaimanapun, kehidupan bapa kepada 10 orang anak itu berubah sepenuhnya sejak perang antara pejuang Hamas dan rejim Zionis Israel.

Kini, dia bertanggungjawab menyempurnakan upacara pengebumian secara berterusan kerana jumlah kematian di Gaza terlalu banyak.

Abu Jawad akui, menjadi insan terakhir yang menguruskan para syuhada bukanlah satu perkara mudah kerana kebanyakan jenazah mereka tidak sempurna.

“Badan saya telah susut sebanyak 30 kilogram (kg). Saya tidak boleh tidur pada waktu malam atau makan selepas melakukan upacara pengebumian.

“Kebanyakan jenazah yang saya uruskan berada dalam keadaan mengerikan. Imej-imej itu sering muncul di fikiran saya,” katanya.

Untuk pengetahuan, Abu Jawad adalah salah seorang penduduk di kem pelarian Deir el-Balah di tengah Gaza iaitu penempatan yang turut dihuni jurufoto dan pencipta kandungan Palestin, Motaz Azaiza.

Abu Jawad tinggal di sebuah rumah kecil bersama isteri serta masih menjaga ibunya yang kini berusia 104 tahun.

Sebelum ini, lelaki itu terkenal dengan sifatnya yang sederhana, ceria dan murah hati sehingga digelar sebagai ‘denyutan jantung Deir el-Balah’.

Namun, kesan peperangan telah menyebabkan seri kegembiraan hilang pada wajah datuk kepada 116 cucu itu.

Pengebumian secara beramai-ramai terpaksa dilakukan kerana jumlah kematian yang tinggi.

Menurut Abu Jawad, tangisan daripada orang ramai sepanjang proses pengebumian secara tidak langsung telah mempengaruhi kesihatan fizikal dan mentalnya.

“Setiap hari, tanah perkuburan dipenuhi tangisan keluarga dan kenalan syuhada yang masih cuba reda dengan kematian insan tersayang.

“Saya akur ini realiti yang saya perlu hadapi. Saya bekerja lebih 12 jam sehari, bermula seawal pukul 6 pagi.

“Saya menyediakan kain kafan, menggali kubur, mengimamkan solat jenazah, berkabung dan seterusnya mengebumikan jenazah tersebut,” katanya lagi.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Gaza pada 29 Februari lalu, jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam perang sejak 7 Oktober 2023 adalah seramai 30,035 orang.

Secara keseluruhan, Abu Jawad telah telah mengebumikan lebih 17,000 orang sejak tarikh itu.

Jumlah jenazah paling sedikit dalam sehari yang pernah diuruskannya adalah 30 orang, manakala paling ramai 800 orang.

Pengebumian jenazah terbanyak itu berlaku pada November tahun lalu, sewaktu gencatan senjata sementara diisytiharkan.

Sewaktu tiada ancaman ketenteraan tersebut, warga Gaza berjaya mengumpul mangsa-mangsa yang telah terkorban untuk dikebumikan.

Alangkah sedihnya Abu Jawad apabila melihat mayat kanak-kanak tidak berdosa dalam kalangan mayat dewasa lain.

Katanya, badan mereka penuh dengan lubang seakan-akan penembak tepat Israel menggunakan mereka untuk latihan sasaran.

Terdapat juga mayat yang rentung seperti kentang bakar dan ramai juga mengalami luka bakar besar di muka.

“Kami tidak dapat membezakan tubuh-tubuh mereka.

“Namun, kami akan lakukan yang terbaik untuk memberikan penghormatan terakhir buat insan-insan terpilih ini.

“Kami gali satu kubur sedalam 10 meter dan mengebumikan mereka bersama-sama dalam satu liang lahat.

“Biasanya, kita akan menulis nama arwah pada kain kafan mereka dan orang tersayang boleh datang mendoakan mereka.

“Kebanyakan mereka yang hadir memiliki hubungan kekeluargaan dengan mangsa korban,” jelasnya.

Abu Jawad turut mengakui terpaksa ‘membekukan’ emosinya supaya dia dapat menyelesaikan tugas harian secara profesional.

Katanya lagi, saat paling sukar adalah mengebumikan 67 ahli keluarga sendiri termasuk sepupu yang sangat rapat dengannya.

Lebih menyayat hati, Abu Jawad tidak lagi dapat mengenali jenazah keluarganya kerana badan mereka telah hancur.

Tambah lelaki itu, tidak semua mayat dapat dibawa ke tanah perkuburan, terdapat beberapa kes ia ditanam di kawasan perumahan.

“Proses membawa orang tersayang ke tanah perkuburan bukan sahaja boleh memakan masa berhari-hari, malah berminggu-minggu.

“Ada juga mayat tidak dapat dikeluarkan dari dalam runtuhan rumah yang musnah disebabkan tiada alat.

“Ada mereka tidak dapat mencari kain kafan atau apa-apa lagi untuk membungkus mayat-mayat tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, lelaki yang dibantu oleh empat orang pembantu itu mengakui, tugas tersebut dilakukan atas dasar fisabilillah (kerana Allah SWT).

Katanya, ruang untuk perkuburan sudah semakin sempit kerana mereka terpaksa mengorek kubur besar hampir setiap hari.

“Kami sediakan kubur besar kerana kami jangka akan ada lagi bedilan pada bangunan-bangunan awam daripada rejim Zionis.

“Ini bermakna akan ada jumlah kematian yang besar berlaku pada bila-bila masa.

“Kami ada dua kubur di Deir el-Balah. Satu sudah penuh, manakala satu lagi bakal penuh tidak lama lagi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN