fbpx

Video tular ikan dibom sah di Hutan Simpan Temengor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video menunjukkan sekumpulan lelaki bermegah-megah dengan hasil tangkapan mereka di Hutan Simpan Temengor di Gerik kelmarin.

GERIK – Pihak polis mengesahkan lokasi pengeboman ikan yang tular di media sosial terletak di kawasan pertemuan Kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga, Hutan Simpan Temengor, di sini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, lokasi tersebut dikenal pasti setelah pihaknya mengesan satu paparan media sosial berkaitan aktiviti penangkapan ikan yang disyaki menggunakan bahan letupan dikatakan berlaku di kawasan Hulu Perak.

“Pada 11 Mac lalu kira-kira pukul 3 petang, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bersama sepasukan Renjer Hutan Perhutanan Daerah Hulu Perak menjejaki tempat kejadian serta menemui lokasi sama seperti yang tular di media sosial,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mana-mana kumpulan atau individu dinasihatkan tidak memasuki kawasan hutan tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram.

Jelas beliau, aktiviti sedemikian menyalahi undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1985) dan Akta Perikanan 1992 kerana melakukan apa-apa kesalahan di dalam kawasan hutan simpan yang diwartakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh terus disalurkan kepada pihak IPD Gerik di talian 05-7912222,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tentang sekumpulan lelaki yang menunjukkan hasil tangkapan dipercayai ikan kelah di sebuah lokasi di Gerik menggunakan kaedah pengeboman ikan serta renjatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI