fbpx

Polis tembak mati tiga penjenayah samun RM4 juta barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yahaya (dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas termasuk sepucuk pistol jenis Glock 17 berserta peluru.

KUANTAN – Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing dalam satu kejadian berbalas tembakan di Kilometer 17 Jalan Pekan-Kuantan, di sini malam semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata tiga penjenayah dikenali sebagai Geng Centro itu melakukan kegiatan samun dan pecah masuk kedai emas di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang.

Katanya, ketiga-tiga penjenayah warga asing itu masing-masing merupakan dua warga Vietnam dan seorang Bangladesh berumur antara 34 dan 44 tahun.

“Kejayaan pihak polis adalah hasil kerjasama pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Pahang yang mengesan sebuah kereta Proton Waja yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan pada pukul 11.30 malam.

“Polis kemudiannya bertindak memperkenalkan diri bagi tujuan pemeriksaan, tetapi suspek sebaliknya bertindak memecut kenderaan dan setibanya di tempat kejadian, kereta suspek menghimpit dan melanggar belakang kenderaan polis menyebabkan kenderaan itu berhenti.

“Ketika hendak melakukan pemeriksaan suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan bagi tujuan mempertahankan diri, polis membalas tembakan sehingga tiga penjenayah di dalam kereta tumpas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang , di sini hari ini.

Menurut Yahaya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan sepucuk pistol jenis Glock 17 beserta enam butir peluru di dalam `megazine’ dan sebutir di dalam `chamber’ serta tiga kelongsong peluru.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan peralatan lain iaitu dua mesin pencanai, dua mesin penebuk, dua bilah parang, dua set nombor pendaftaran, satu kuku kambing dan tukul besi.

“Siasatan juga mendapati suspek warga Bangladesh memiliki lesen memandu yang sah dan dipercayai sudah lama menetap di Malaysia dan kereta digunakan geng ini juga milik suspek warga Bangladesh manakala dua lagi suspek warga Vietnam pula sering keluar masuk ke negara ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pihak polis percaya geng terbabit melibatkan lebih daripada tiga suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, modus operandi yang dilakukan penjenayah tersebut ialah dengan menyerang dan menyamun mangsa menggunakan kekerasan.

“Selain itu suspek juga memecah masuk kedai emas melalui pintu hadapan atau belakang serta menebuk peti besi menggunakan mesin pencanai sebelum melarikan barang kemas dengan jumlah keseluruhan kerugian melebihi RM4 juta.

“Dengan tertumpasnya Geng Centro ini polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuk kedai emas iaitu masing-masing tiga kes di Perak dan satu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang dipercayai dilakukan penjenayah sejak Jun 2023,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI