fbpx

Masalah dalaman, dipinggirkan punca Abdul Rashid sokong MB Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rashid ketika sidang akhbar di Shah Alam, hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Masalah dalaman dan rasa dipinggirkan dikatakan menjadi punca bekas Pengerusi Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar (MB) Selangor.

Abdul Rashid berkata, ini selepas pelbagai percaturan yang dibuat kepimpinan tertinggi Bersatu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 15 termasuk agihan kerusi terutama melibatkan Parlimen Kapar.

Katanya, kerusi Parlimen Kapar khususnya terdapat perjanjian bertulis antara Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bahawa kerusi tersebut dipersetujui diagihkan kepada Bersatu.

Namun, akhirnya Pas mengambil tanpa mengendahkan perjanjian yang dibuat sebelum ini.

“Saya sebagai Pengerusi Bersatu Selangor telah diminta Presiden Bersatu untuk menamakan calon-calon untuk dicalonkan di dalam PRN15 di Selangor. Namun, banyak nama-nama Ketua-Ketua Bahagian (KB), Timbalan Ketua Bahagian dan beberapa nama lain daripada peringkat bahagian layak bertanding telah ditolak kecuali beberapa orang KB.

“Sementara nama-nama KB lain yang layak dicalonkan ditolak dengan berbagai alasan yang tidak masuk akal. Hasil daripada penolakan-penolakan ini, saya telah dihina dan dikeji kononnya saya gagal menamakan mereka sebagai calon akhirnya sekali dipecat jawatan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor.

“Saya mengambil keputusan drastik ini kerana merasakan diri tidak lagi diperlukan Bersatu,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Abdul Rashid turut menyerahkan kepada kepimpinan Bersatu pusat berhubung kedudukannya dengan keputusan dibuat beliau adalah dilakukan secara peribadi.

“Saya faham bila buat keputusan itu sudah tentu perkara ini dirujuk kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Itu terpulang kepada mereka, saya terima sahaja. Bila saya sudah buat keputusan, itu keputusan saya.

“(Mengenai ADUN lain yang akan ikut jejak langkah sama) Dulu sibuk kata ada, itu yang keluar viral lima atau enam orang. Namun, mungkin selepas MB umumkan bajet RM400,000 kepada ADUN pembangkang menyebabkan mereka ubah fikiran. Saya tidak pandang itu semua, saya pandang kedudukan saya dalam Bersatu,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid turut mempersoalkan tindakan seorang Ahli Majlis Tertinggi Bersatu menyatakan diri beliau bodoh kerana membuat kenyataan media dengan alasan bodoh baru-baru ini.

“Adakah tindakan saya mengangkat titah ucapan Sultan Selangor sebagai alasan menyokong Menteri Besar Selangor adalah satu perkara bodoh.

“Dengan itu, secara tidak langsung Ahli Majlis Tertinggi tersebut telah menghina Sultan Selangor kerana membuat titah ucapan yang beliau anggap bodoh,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI