fbpx
Pengunjung bersantai di luar rumah sambil menikmati kopi dalam suasana kampung.

Rumah usia 100 tahun gamit nostalgia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bunyi lantunan biji guli congkak ditambah haruman kopi yang dibawa angin membangkitkan nostalgia dalam diri penulis tatkala tiba di Laman Tok Mah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Rumah tradisional Melayu yang berusia hampir 100 tahun itu bukan saja mengimbau kenangan ‘orang lama’, malah menyuntik pengalaman baharu terutama buat golongan muda yang tidak pernah berpeluang miliki kampung halaman.

Lebih menarik lagi, pemiliknya, Mohamad Yazdi Yaacop, 44, berkata, rumah pusaka peninggalan arwah neneknya, Allahyarham Tinah Kanis atau lebih dikenali sebagai Tok Mah yang terletak di Kampung Pokok Tampang, Tasek Gelugor itu memiliki keunikan tersendiri yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Rumah itu sebelum ini pernah dijadikan lokasi bagi projek kajian rumah tradisional hasil kolaborasi bersama Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Kata Mohamad Yazdi, dia dibesarkan arwah Tok Mah sejak kecil sehinggalah usianya menginjak 10 tahun, namun segala kenangan masih terpahat segar dalam ingatannya.

“Rumah pusaka milik arwah Tok Mah ini terus berdiri utuh biarpun pernah ditinggalkan seketika tanpa diselenggara.

“Rumah tradisional ini terdiri daripada satu tingkat dan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Rumah Ibu, Rumah Tengah dan Rumah Dapur.

“Pada mulanya terdapat ruang bahagian atas yang disokong dengan barisan tiang-tiang utama, namun di akhir usia, kesihatannya semakin merosot dan ruang bawah ini diubah suai supaya arwah tidak perlu lagi berulang-alik menaiki tangga untuk ke tingkat atas,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Pembantu Muzium di MGTF itu berkata, bentuk rumah terbabit berkonsepkan Rumah Serambi Gajah Menyusu.

Katanya, bumbung serambi yang lebih rendah berbanding bahagian Rumah Ibu menyerupai seperti seekor gajah yang sedang menyusukan anaknya.

“Begitu juga dengan ruang dapur di mana bumbungnya juga lebih rendah menggambarkan posisi terbabit.

“Sekumpulan pelajar bersama pensyarah dari sebuah kolej di Kedah pernah ke sini dan melakukan kertas kerja bagi projek kajian rumah tradisional Melayu, malah mereka yang memaklumkan mengenai reka bentuk rumah ini kepada kami,” katanya.

Bercerita mengenai keadaan rumah arwah neneknya itu, Mohamad Yazdi berkata rumah terbabit memiliki pengudaraan yang baik susulan terdapat banyak laluan angin menerusi dinding kayu.

“Selain itu, terdapat ‘gelega’ iaitu kepingan lantai kayu yang disusun jarang bagi memudahkan penghuni rumah menjalankan aktiviti memandikan jenazah atau melancarkan urusan ibu bersalin.

“Setakat ini, struktur asal rumah tidak akan dinaik taraf bagi mengekalkan keasliannya, cuma perancangan untuk menggantikan bumbung bocor itu ada supaya keadaan rumah lebih terjaga.

Mohamad YAZDI dan Siti Zaitun yang mengusahakan Laman Tok Mah iaitu rumah peninggalan Allahyarham Tinah Kanis.

“Kadang-kadang apabila musim hujan, kami letakkan baldi sahaja untuk menampung air yang menitik, tetapi yang menariknya lantai kayu tak pernah rosak dihakis air,” katanya.

Ceritanya sebelum ini, rumah terbabit pernah dijadikan lokasi bagi projek kajian rumah tradisional hasil kolaborasi bersama MGTF.

Walau bagaimanapun, projek terbabit akhirnya terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 susulan Covid-19 dan sejak itu, rumah berkenaan dibiarkan kosong tanpa penghuni.

“Saya tinggal di Padang Serai, Kedah dan perjalanan ke sini memakan masa lebih kurang 15 minit sahaja, maka rutin wajib setiap hari ialah datang ke sini untuk membuka dan menutup tingkap rumah ini.

“Sebelum bertolak ke tempat kerja, saya akan singgah buka tingkap sekali gus pastikan pengudaraan dalam rumah ini kekal baik dan tutup tingkap setiap kali dalam perjalanan pulang.

“Hujung minggu, saya akan mesin rumput dan buang lalang yang ada sekiranya berkesempatan untuk berbuat demikian,” katanya.

Bercerita mengenai transformasi rumah pusaka yang kini dijadikan sebagai ‘port’ lepak pengunjung hujung minggu, Mohamad Yazdi berkata, idea tersebut dicetuskan isteri, Siti Zaitun Suid, 42.

Katanya, isterinya yang memiliki pengalaman dalam bidang perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) mengusulkan supaya rumah terbabit dijadikan lokasi lepak setiap hujung minggu.

“Saya sendiri pada mulanya tidak bersedia untuk mencuba, namun dengan sokongan padu isteri dan keluarga kami mulakan operasi Laman Tok Mah bermula Oktober 2022.

“Di sini, ada pelbagai jenis kopi dibru segar dan beberapa makanan yang diperoleh daripada vendor setempat,” katanya.

Siti Zaitun berkata, mereka enggan melabelkan Laman Tok Mah sebagai sebuah kafe, sebaliknya lebih gemar mengkategorikan rumah itu sebagai aset tradisional yang wajar dipulihara.

“Ia bukan kafe kerana kami tidak mempunyai dapur panas yang menyajikan menu berat, sebaliknya menyediakan cicipan (minum petang) ringan seperti ubi kayu, peknga (lempeng), nasi lemak dan beberapa jenis kuih-muih tradisional.

“Kami tidak mahu pelanggan datang dan meletakkan harapan tinggi kerana makanan yang dijual diambil daripada vendor yang terdiri daripada suri rumah dan juga penduduk setempat.

“Objektif utama hanyalah untuk berkongsi dan memberikan pengalaman kepada sesiapa sahaja yang berkunjung untuk merasai suasana kampung,” katanya.

Tambahnya, selain hampir kesemua bahagian rumah yang boleh dijadikan inspirasi OOTD atau ‘outfit of the day’, dia turut berterima kasih kepada pelanggan yang banyak membantu mempopularkan Laman Tok Mah.

“Kebanyakan pempengaruh datang dan memuat naik gambar berserta video dalam laman sosial sekali gus membuatkan rumah pusaka ini semakin dikenali ramai.

“Seronok tatkala melihat pelbagai lapisan usia dan generasi datang ke sini untuk mengimbau memori semasa membesar di kampung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN