fbpx

Terbuka Perancis: Aaron-Wooi Yik tamat cabaran Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (depan) dan Wooi Yik mengalihkan fokus terhadap aksi Seluruh England minggu depan selepas tersingkir di suku akhir Terbuka Perancis sebentar tadi. - FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Langkah beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis terhenti di pusingan suku akhir selepas tewas kepada juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle, Paris itu, Aaron-Wooi Yik sudah memberikan tentangan sengit, namun terpaksa akur apabila tewas 19-21, 16-21 dalam tempoh 43 minit.

Keputusan itu turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik mencatat kekalahan ketiga dalam empat pertemuan menentang Min Hyuk-Seung Jae dengan aksi terakhir pada Terbuka Malaysia Januari lalu turut memihak beregu Korea tersebut.

Penyingkiran bekas juara dunia itu sekali gus menamatkan cabaran kem badminton Malaysia pada Jelajah Dunia Super 750 berkenaan selepas beberapa lagi wakil negara tewas di pusingan awal.

Menjelang aksi separuh akhir esok, Min Hyuk-Seung Jae menantikan pemenang di antara beregu No.1 dunia dari India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy dan beregu Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren yang akan beraksi sebentar lagi.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik boleh dianggap menampilkan aksi cukup baik sepanjang saingan musim ini apabila dua kali melangkah ke suku akhir pada Terbuka Malaysia dan Terbuka Perancis selain mara ke separuh akhir Terbuka India.

Selepas ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan menggalas cabaran pada kejohanan Seluruh England bermula 12 hingga 17 Mac ini dan dijadualkan bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI