JIKA frasa ‘dia sudah berkahwin, juga beli rumah, sudah berjaya orangnya’ berterusan digunakan bagi menterjemahkan seseorang itu sudah mencapai kejayaan dalam hidupnya, maka persepsi itu perlu diperbetulkan semula.
Dalam konteks yang lebih ringkas, adakah orang bujang ataupun masih belum membeli rumah dianggap tidak berjaya dalam hidupnya? Adakah dengan berkahwin dan memiliki rumah, mereka sudah dilihat berjaya berbanding orang lain?
Jawapannya, semua tanggapan itu ialah subjektif di mana tiada yang betul ataupun salah.
Setiap individu mempunyai matlamat hidup masing-masing selain sudah menetapkan apa yang ingin dicapai terlebih dahulu.
Ada yang mahu melihat dunia sebelum berkahwin, ada juga lebih selesa menyewa bagi memberi laluan kepada impian-impian lain yang masih belum dicapai. Setiap orang berbeza, hanya berlumba dengan diri sendiri.
Justeru, menurut Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, keputusan untuk berkahwin atau membeli rumah tidak boleh dilihat sebagai satu perlumbaan dalam kehidupan.
Sebaliknya, katanya, ia perlu dilaksanakan apabila seseorang individu sudah bersedia khususnya dalam aspek kewangan memandangkan ia melibatkan komitmen jangka masa panjang.
“Saya tidak rasa ini perlumbaan, jika kita lihat, golongan muda mahu terlebih dahulu mendapatkan pekerjaan yang stabil sebelum membuat keputusan untuk berkahwin atau membeli rumah.
“Jika kita lihat sekarang ini, untuk membeli rumah bukan juga hal yang mudah lebih-lebih lagi di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
“Untuk memiliki aset itu, setiap individu perlu mempunyai sokongan kewangan yang tinggi di mana ia turut bergantung kepada ketersediaan mereka untuk berbuat demikian,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Pada masa sama, Dr. Abdul Rais berkata, memiliki aset seperti rumah turut merangkumi beberapa belanja lain seperti yuran penyelenggaraan yang mana individu perlu merancang kewangan dengan baik bagi mengatasi rasa terbeban.
“Jadi, sebelum membeli aset itu, perlu bersedia memandangkan pemilikan rumah melibatkan hutang jangka masa panjang.
“Selain itu, apabila memiliki aset, ia bukan sekadar komitmen bulanan bank sahaja, sebaliknya ada juga perbelanjaan lain seperti yuran penyelenggaraan dan sebagainya,” jelasnya.
Susulan itu, jelasnya, mana-mana individu yang mahu memiliki sesuatu aset perlu perlu melihat kepada kemampuan diri masing-masing bagi mengelakkan rasa terbeban sekiranya komitmen melebihi pendapatan bulanan.
Ujarnya, individu perlu bijak merancang kewangan dan bersedia dalam pelbagai aspek sebelum membuat keputusan memiliki aset atau berkahwin, seterusnya mewujudkan aliran kewangan baik dan menjamin kesejahteraan kehidupan.
Maka, secara kesimpulannya, tidak perlu rasa kekurangan jika belum berkahwin atau memiliki aset utama seperti rumah, rancang kewangan terlebih dahulu dan hanya memilikinya bila sudah bersedia.
















