MENGABADIKAN diri selama lebih tiga dekad sebagai anak seni bukan satu perjalanan yang mudah buat Marcell Siahaan.
Kelananya penuh berliku dan pancaroba sehingga berada di posisi sekarang. Itu kisah yang diakui pemilik nama penuh Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan tentang momentum kariernya.
Ternyata, keteguhan populariti tidak pernah goyah. Meskipun sudah lebih 30 tahun melantunkan suara, namanya tetap relevan dalam kelas tersendiri.
Untuk kekal relevan, pelantun lagu Semusim itu mengakui, terpaksa menurunkan ego yang baginya sangat penting bagi sesetengah selebriti.
Katanya, ego tersebut bukan demi kepentingan sendiri tetapi bagi memastikan peminat mendapat kepuasan maksimum daripadanya dalam setiap persembahan. Itu prioritinya apabila tampil dalam mana-mana persembahan pentas.
Contoh paling terdekat, penyanyi berusia 46 tahun itu akan tetap melayani permintaan peminat menyanyikan lagu popular seperti Takkan Terganti dan Jangan Pernah Berubah berbanding karya lain.
“Dalam setiap persembahan, saya sedar para peminat memang hanya mahu mendengar lagu popular yang sudah berusia puluhan tahun kerana itu sahaja yang mereka tahu.
“Bagi memastikan mereka tidak berasa kecewa atau sedih, saya turunkan ego dan sanggup menyanyikan lagu yang sama berulang kali.

“Saya terapkan dalam minda bahawa tidak boleh bosan persembahkan lagu sama demi peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Meskipun memiliki ratusan lagu lain, bukan semua dendangannya berjaya menambat hati peminat, terutama karya baharunya.
“Selama ini saya dilabel sebagai penyanyi balada dan genre tersebut seperti sudah sebati serta melekat pada saya. Jadi, untuk tampilkan sesuatu yang lain memang agak sukar diterima ramai.
“Jadi, penting untuk saya ketepikan ego tidak membawa lagu baharu kerana permintaan terhadap lagu lama yang buatkan kerjaya terus hidup sehingga hari ini,” katanya lagi.
Meskipun dilihat masih tersekat dengan karya popularnya sebelum ini, Marcell bagaimanapun enggan meletakkan limitasi, malah sentiasa meneroka dimensi baharu dalam muziknya.
Tidak mahu dianggap sebagai penyanyi ketinggalan zaman, dia turut menjalin kerjasama dengan pemuzik Gen Z dan millennial yang dilihat sebagai perkara wajib pada hari ini.
“Pasukan saya hari ini rata-ratanya terdiri daripada golongan muda dan sangat seronok apabila setiap aspek kerjaya saya teratur serta mengikut kehendak atau selera masa kini,” ujarnya.
Bersara?
Rancak bercerita, Marcell dilayangkan pertanyaaan sama ada pernah terfikir untuk bersara seperti yang pernah dilakukan beberapa rakan seperjuangan lain. Jika tidak bersara pun, mahukah dia berubah angin menceburi politik.
Jawapannya, hanya gelengan kepala sebagai gambaran bahawa tiada istilah pencen dalam kamus kerjayanya. Dia mahu terus menyanyi selagi hayat dikandung badan.
“Saya tidak pernah membayangkan akan bersara dalam bidang seni, malah mahu melontarkan suara walau usia sudah mencecah 90 tahun kelak.
“Satu perkara yang saya tak mahu ialah menetapkan sasaran untuk berhenti dalam sesuatu perkara yang disukai khususnya menyanyi. Itu bukan cara saya apatah lagi mahu pencen!” tuturnya.

Disebabkan tidak akan sesekali bersara, suami kepada aktres, Rima Melati Adams itu nekad menjaga kualiti suara dan memperbaiki teknik-teknik nyanyian dengan mengambil kursus vokal baru-baru ini.
Ujarnya, bukan semua penyanyi yang sudah menyanyi bertahun-tahun akan melakukan hal sama.
“Sebelum ini saya sempat sertai kelas menjadi penyanyi tenor atau vokal klasikal. Inisiatif itu bagi mempelajari teknik supaya mampu menyanyi sampai umur 90 tahun.
“Saya mahu pastikan mampu menyanyi seperti sekarang dan kekal sampai bila-bila. Penyanyi antarabangsa, Tom Jones atau sesiapa pun yang usianya sudah lanjut, tapi masih boleh menyanyi dengan nada sama, tidak berubah,” katanya.
Penyanyi itu juga percaya penjagaan berterusan daripada pelbagai aspek khususnya fizikal juga yang dilihat sangat penting.
“Penjagaan diri termasuk senaman, istirahat dan menjaga diet pemakanan yang betul.
“Kalau kita hendak hidup sihat tetapi individu sekeliling kita tidak, memang sukar. Isteri saya jurulatih senaman, jadi kami saling menyokong dan mengingatkan. Kuncinya mencari keseimbangan hidup,” kongsinya.
Konsert Trio
Berkongsi mengenai konsert Trio Terhebat Vol. 1 yang turut menampilkan Once Mekel dan bekas vokalis kumpulan Samsons, Bams, Marcell mengakui teruja kerana akan sepentas dengan dua penyanyi hebat terbabit.
Tuturnya, konsert trio anjuran Icon Entertainment tersebut mengetengahkan sebuah konsep baharu yang tidak pernah dilakukan di Malaysia sebelum ini.
“Sebelum ini memang sudah biasa berkongsi pentas dengan Once dan Bams di Indonesia tetapi kalau untuk konsert berskala besar begini, memang pertama kali. Keterujaan itu berlipat kali ganda.
“Saya cuma berharap kami bertiga dapat meninggalkan impak dan memori manis kepada para penonton. Kami bukan sekadar menyanyi tetapi ingin menyentuh hati semua,” jelasnya.
Dia menegaskan konsert tersebut bukan platform mencuri ‘spotlight’ atau berlumba siapa paling popular dalam kalangan mereka bertiga, sebaliknya hanya mahu menghiburkan peminat di Malaysia.

“Kami bertiga akan melakukan persembahan terbaik tanpa perlu membayangi atau rasa lebih baik antara satu sama lain. Ketika di pentas, kami semua sama sahaja, tiada yang lebih atau kurang popular.
“Ini adalah pentas keramat yang menyatukan kami sebagai penghibur, jadi mengapa perlu wujud rasa-rasa negatif sebegitu?” katanya.
Tambah Marcell, meskipun sudah berkali-kali mengadakan konsert di Malaysia, keterujaan tetap sama.
“Setiap kali dapat undangan ke Malaysia memang seronok walaupun hampir setiap tahun saya datang.
“Sambutan dan energi yang diberikan peminat di sini luar biasa. Harapnya kami akan beri persembahan yang bagus dan mencapai jangkaan anda semua,” ujarnya sambil menguntum senyuman manis.
Konsert Trio Terhebat Vol. 1 bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 Mei depan pada pukul 8.30 malam.
Acara tersebut juga bakal memperlihatkan tiga penyanyi hebat itu membuat persembahan secara solo dan berduet mendendangkan lagu popular masing-masing.
Tiket untuk menonton konsert Trio Terhebat Vol. 1 boleh didapati menerusi www.ticket2u.com dengan harga RM268, RM308, RM358, RM458, RM558 dan RM1,388.














