fbpx
ZAQKHWAN (belakang, kiri) dan Afifah (belakang, dua dari kiri) bergambar bersama tujuh anak mereka di kediaman pasangan itu di Taman Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Enam daripada tujuh anak mereka adalah anak istimewa dengan empat autisme, seorang ADHD dan seorang menghidap Tetralogy of Fallot (TOF).

Besarkan enam ‘anak istimewa’, bapa reka sendiri modul khas autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK sahaja melihat kedatangan penulis, Amirul Haziq, 18, segera menguruskan adiknya, Adam Tuah Zaqkhary, 5, yang sedang leka bermain di ruang tamu.

Kanak-kanak kecil yang masih memakai lampin pakai buang itu langsung tidak menunjukkan tantrum apabila aktivitinya dihentikan.

Biarpun tidak mengeluarkan sebarang kata-kata perkenalan seperti orang biasa, namun mereka memiliki adab menyambut tetamu yang baik.

Sesiapa sahaja pasti tidak menyangka bahawa kedua-dua insan ini merupakan individu yang mengalami Gangguan Spektrum Autisme (ASD) atau autisme.

Manakan tidak, autisme sering dikaitkan dengan tingkah laku aneh seperti menutup telinga, ketuk kepala dan tidak suka dengan kehadiran orang baharu.

Melihat kepada situasi tersebut, tidak hairanlah ada ibu bapa yang ingin mendapatkan nasihat daripada keluarga tersebut berkenaan cara menguruskan anak-anak autisme.

Ini terbukti apabila keluarga pasangan Afifah Azizan, 39, dan Zaqkhwan Zawawi, 39, itu memiliki 61,300 pengikut di TikTok dan 22,200 di Instagram dengan nama momofautismkids.

Mengimbau saat pertama kali diberitahu bahawa anak-anaknya dikategorikan dalam golongan neurodivergent (otak berfungsi secara tidak tipikal), Afifah akui, dunianya seakan gelap seketika.

Ini kerana, media massa sering kali memaparkan tingkah laku anak autisme yang tidak terkawal sehingga mampu mencederakan diri sendiri dan orang lain.

“Berdasarkan pengalaman peribadi, saya faham betapa terdesaknya sebilangan ibu bapa lain yang tidak faham dengan kondisi sebenar anak mereka.

“Oleh itu, saya membuat perkongsian tentang anak saya supaya ibu bapa lain dapat lihat kemungkinan yang lebih positif berkenaan anak autisme mereka.

“Anak-anak autisme bukannya tidak waras. Mereka cuma mengalami cabaran tertentu kerana otak mereka memproses maklumat dengan cara tersendiri,” katanya ketika ditemui K2 di kediaman mereka di Taman Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Biarpun autistik, namun Amirul Haziq mampu membantu ibunya menjaga adik.

Selain Amirul dan Adam, Afifah memiliki seorang lagi anak autisme, Arif Syarafuddin, 16, sementara Aida Afrina, 14, pula merupakan individu autisme yang mempunyai masalah pembelajaran iaitu disleksia.

Suri rumah itu turut diduga apabila anaknya, Ahmad Danish, 12, didiagnos dengan gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) dan Ayra Elise Zara Zaqkhwan, 8, pula merupakan penghidap masalah jantung Tetralogi Fallot (ToF).

Seorang sahaja anaknya yang tidak memiliki sebarang masalah kesihatan iaitu Aida Amanina yang kini berusia 20 tahun. Lima daripada anaknya merupakan hasil perkahwinan pertamanya dengan bekas suami, Mohd. Abdullah Budin yang meninggal dunia akibat serangan strok.

Kemudian, dia berkahwin dengan suami kedua, Zaqkhwan lebih kurang 10 tahun lalu dan mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata.

Tambahnya, anak-anak mereka tidak dibesarkan sebagai ‘anak cacat’, tetapi diajar cara untuk mengawal kesukaran yang dialami dan berhadapan dengan dunia realiti.

Setelah anak-anaknya berjaya mengendali kesukaran masing-masing, mereka akan dihantar ke sekolah biasa untuk bergaul dengan kanak-kanak neurotipikal (normal).

Ujar Afifah lagi, sebahagian anak-anaknya akan meneruskan pengajian di Program Pendidikan Khas Integrasi apabila memasuki sekolah menengah.

“Ada anak saya yang pertama kali masuk sekolah ketika usianya 10 tahun. Jadi, suami saya (Zaqkhwan) akan masuk ke kelas dengan membawa satu beg hadiah.

“Suami akan memperkenalkan anak saya, bercerita mengenai keadaannya dan beri hadiah ‘selamat berkenalan’ kepada rakan-rakan sekelas anak saya.

“Kanak-kanak lebih cenderung membantu dan menjaga berbanding membuli atau mengejek sekiranya mereka memahami kondisi rakan mereka,” ujarnya.

AFIFAH juga sering berkongsi cara penjagaan kanak-kanak autisme di dalam media sosial.

Dalam pada itu, Zaqkhwan mendedahkan bahawa teknik yang digunakan adalah berdasarkan strategi holistik meliputi aspek fizikal, psikologi, logik dan matematikal.

Antaranya teknik yang digunakan adalah brushing, urutan muka, latihan keseimbangan, pengamalan rutin serta conditioning (latihan dengan ganjaran
dan hukuman).

Lelaki yang memiliki latar belakang akademik dalam astrofizik di Manchester, England itu kini berjaya mengubah tingkah laku anak-anaknya daripada tahap ‘severe’ kepada ‘mild autism’.

“Dahulu, anak-anak saya juga mengalami kesukaran seperti anak-anak autisme lain. Namun kini, mereka sudah tahu cara mengawal cabaran tersebut dan bukan lagi masalah besar.

“Ibu bapa perlu cakna tentang autisme itu sendiri, mengenali anak mereka supaya dapat membezakan antara perbuatan anak itu adalah berpunca daripada cabaran autisme atau disebabkan being spoil (dimanjakan),” katanya.

Mengorak langkah ke depan, Zaqkhwan merancang untuk mencurahkan semua ilmu berkaitan anak autisme di dalam buku terbitannya menjelang akhir tahun ini.

Buku tersebut akan dilengkapi dengan langkah-langkah praktikal untuk menangani kerumitan membesarkan kanak-kanak autisme.

“Buku ini akan menerangkan segala-galanya dengan cara paling mudah.

“Semua ibu bapa yang mempunyai anak autisme berhak mendapat ilmu yang betul untuk membesarkan anak-anak mereka,” jelas Zaqkhwan.

Tidak terhenti di situ, Zaqkhwan turut menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan My Autism Kebangsaan pada Januari lalu.

Pertubuhan tersebut sebagai inisiatif kepada usaha untuk menumpukan kepada kebolehpasaran golongan autisme dalam pasaran kerja.

“Panca indera sensitif autisme menjadikan mereka modal insan yang berkualiti kerana lebih peka, rajin dan fokus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN