fbpx

12 individu ‘runner’ sindiket edar ganja di Lembah Klang dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno (tengah) menunjukkan plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki ganja dalam sidang akhbar di IPD Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. -Foto oleh MOHD. FARIZWAN HASBULLAH/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 12 individu dipercayai ‘runner’ kepada sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang bergerak aktif bermula tahun lalu dicekup dalam satu operasi berasingan sekitar ibu kota sejak 26 Februari lepas.

Dalam serbuan berasingan hingga 2 Mac lalu, polis berjaya merampas dadah jenis ganja berjumlah RM68,375 dengan berat sebanyak 18.56 kilogram (kg).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 43 tahun itu dipercayai menjadi ‘runner’ dadah yang disimpan sementara di daerah ini sebelum dibekalkan ke bahagian selatan negara.

Ujarnya, risikan bermula apabila seorang lelaki warga tempatan ditahan di sebuah hotel di Jalan Kuching kerana memiliki lima plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki ganja seberat 3.4 kg.

“Hasil soal siasat membawa kepada tangkapan susulan empat lelaki dan lima wanita warga tempatan pada hari yang sama (26 Februari) di Jalan Gombak.

“Tangkapan tersebut berjaya merampas sebanyak 23 plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki ganja seberat 6.67 kg.

“Seterusnya, pada 27 Februari, seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 21 tahun ditahan di kawasan kondominium di Sentul kerana memiliki bahan disyaki dadah jenis ganja dengan berat sebanyak 2.76 kg,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Ahmad Sukarno berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran ganja sejak tiga bulan lalu.

Jelasnya, suspek ditahan pada 2 Mac kira-kira pukul 7 pagi di kawasan kondominium Sentul Selatan bersama lapan plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan berat 8.21 kg berjumlah RM26,900.

“Suspek dipercayai menerima bekalan dadah jenis ganja dari pembekal kawasan Pantai Timur. Suspek ditahan reman sehingga hari ini.

“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Ahmad Sukarno, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti lagi ahli sindiket yang terlibat dan punca bekalan dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI