DISIFATKAN sebagai penyanyi bijak apabila mampu menyesuaikan vokal dalam lagu Jangan Mati Rasa Itu sehingga sekali lagi diiktiraf di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) membuktikan keampuhan jenama anak seni bernama Aina Abdul.
Gelaran Vokal Terbaik yang dirangkul tiga tahun berturut-turut sejak AJL36 juga petanda kedudukannya sukar digugat.
Kalau dalam istilah suka bola sepak, pencapaian tersebut sudah dianggap hatrik luar biasa.
Bukan hanya markah juri, pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 30, turut meraih kepercayaan peminat yang mengangkatnya sebagai Penyanyi Pilihan Alha Alfa.

Bagi Aina, tiga trofi yang dibawa pulang pada Ahad lalu termasuk tempat ketiga di belakang naib juara, Sutera nyanyian Aisha Retno serta juara iaitu Hasrat dendangan Amir Jahari adalah hasil dorongan insan sekeliling.
“Semua ini berkat doa dan sokongan semua yang sentiasa suntik semangat. Saya sangat mensyukuri rezeki yang dikurniakan ini.
“Apabila dikatakan mampu mempertahankan vokal, saya gembira kerana perjalanan seni vokal saya agak panjang. Saya belajar dengan ramai guru hebat sejak tingkatan lima.
“Memenangi trofi kategori vokal ini sebenarnya adalah untuk guru vokal saya. Ramai yang saya kagumi termasuklah Marsha Milan dan Ernie Zakri. Mendengar cara nyanyian mereka juga memberikan satu pelajaran buat saya,” ujarnya.
Semua pengiktirafan yang diterima menjadi sebuah anugerah kesyukuran tidak ternilai sepanjang naratif seninya.

‘Terbang’ 30 kaki
“Secara peribadi, AJL38 akan paling saya ingat sampai bila-bila. Nak cakap saya sedih mendapat tempat ketiga maksudnya, saya tak bersyukur.
“Malah itu akan mengenepikan tujuan asal saya menulis lagu tersebut kerana saya suka semua finalis edisi kali ini yang mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya yang tidak putus mengucapkan syukur.
Selain vokal memukau, Aina tampil mengikut konsep ‘pohon kehidupan’ bersama props pokok dan dedaun kering kelayuan selain sanggup ‘terbang’ pada ketinggian 30 kaki. Kesungguhan dan keberanian anak seni berjiwa besar itu ternyata meraih sorakan serta tepukan sambil berdiri (standing ovation) lebih 10,000 penonton Axiata Arena.

50 liter haruman
Pada masa sama, dia menyifatkan pokok mati berlatarkan musim luruh sebagai simbolik rasa cinta yang terus mekar dalam hati.
Menghuraikan konsep diketengahkan, Aina berkata, perlambangan akar menjalar mencerminkan hati yang masih kukuh, biarpun pohon kelayuan.
“Walaupun pokok tidak subur dengan ranting keras mengering dan hampir mati, namun akar di bawah tanah masih menjalar seperti hati yang terus kukuh mencintai biarpun jiwa tersakiti,” luahnya.
Berkongsi lagi keistimewaan persembahannya, Aina menggunakan sebanyak 50 liter haruman bagi mencetuskan bauan semerbak gelanggang semasa beraksi.
“Mereka yang berada dalam Axiata Arena dapat menghidu bau harum sepanjang persembahan Jangan Mati Rasa Itu. Itu juga simbolik kepada mekarnya cinta yang ada dalam hati,” ujarnya.
Menurut penyanyi yang memasuki usia sedekad dalam industri itu, inspirasi tampil dengan idea pokok bersama dedaun dan ranting kering timbul melalui pengamatan ketika berkunjung ke beberapa negara yang mengalami musim luruh.
Akuinya, pasukannya menggunakan ribuan daun kering dan mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan props pokok termasuk busana berupa ranting kayu sentuhan Melinda Looi.

Bajet rahsia
“Saya suka berkarya dengan pentas dan baju. Bagi saya, perkara ini membawa kepuasan apabila idea dapat direalisasikan.
“Hakikatnya saya juga bertuah mendapat pasukan kerja yang hebat. Biarpun latar belakang berbeza, kami saling bekerjasama sehingga terhasilnya persembahan bermakna ini.
“Selain pereka pentas dan props, seramai 80 tenaga kerja berkhidmat bagi menjadikan persembahan saya seperti divisualkan,” ujarnya.
Ditanya kos keseluruhan, Aina lebih selesa tidak mendedahkan bajet diperuntukkan. Dia sebaliknya hanya seronok biarpun terpaksa bersiap lebih dua jam untuk muncul beberapa minit di pentas.
“Bukan Aina Abdul kalau bersiap sekejap. Lama itu biasa, tetapi saya sendiri akan berasa pelik, bahkan sejujurnya saya seronok melalui pengalaman sebegini.
“Beraksi bersama kostum ranting sangat berbaloi dengan hasilnya,” dedahnya seraya tertawa.















