fbpx

Pencapaian Malaysia dalam PISA 2022 merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pencapaian Malaysia dalam pusingan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 menunjukkan penurunan agak ketara, berbanding trend peningkatan yang ditunjukkan sewaktu penyertaan pada pusingan PISA 2009.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, berdasarkan pentaksiran tersebut, Singapura, Vietnam dan Brunei mengatasi Malaysia dalam ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir.

“Selain itu, dapatan PISA 2022 menunjukkan Malaysia mengatasi Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja dalam ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir.

“Sebanyak lapan negara ASEAN telah mengambil bahagian dalam kajian PISA 2022 daripada jumlah keseluruhan 81 negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) berikutan prestasi merosot Malaysia dalam PISA 2022 bagi skor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Kah Woh berkata, OECD selaku penganjur kajian melaporkan dalam Literasi Matematik, sebanyak 58 negara mencatatkan prestasi penurunan dalam mata skor berbanding dengan PISA 2018, dua negara kekal dan 13 negara menunjukkan peningkatan dalam mata skor.

“Bagi Literasi Saintifik, sebanyak 36 negara mencatatkan penurunan dalam mata skor, dua negara kekal dan 34 negara menunjukkan peningkatan mata skor.

“Literasi Bacaan pula menunjukkan, sebanyak 55 negara mencatatkan penurunan dalam mata skor dan 17 negara menunjukkan peningkatan dalam mata skor,” ujarnya.

Beliau berkata, OECD juga melaporkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dari tahun 2020 sehingga 2022, terdapat banyak sistem pendidikan negara di seluruh dunia terkesan akibat pematuhan terhadap arahan perintah kawalan pergerakan dan tempoh penutupan sekolah yang agak lama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI