fbpx

Malaysia, UK bincang keperluan kawalan pembiayaan litigasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina (empat dari kanan) ketika mengadakan perbincangan semasa Mesyuarat Menteri Undang- Undang Komanwel yang berlangsung di Tanzania hingga 8 Mac ini.

PUTRAJAYA- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman telah mengadakan perbincangan berhubung keperluan mewujudkan mekanisme pengawalan pembiayaan litigasi pihak ketiga.

Perbincangan itu diadakan bersama Setiausaha Negara Parlimen untuk Kementerian Kehakiman United Kingdom (UK), Mike Freer semasa pertemuan Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel yang berlangsung di Zanzibar, Tanzania dari 4 hingga 8 Mac 2024.

Menurut Azalina, pihaknya telah berbincang mengenai keperluan mendesak bagi mekanisme itu diwujudkan memandangkan terdapat pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan sistem perundangan.

Katanya, penyalahgunaan sistem itu seperti proses timbang tara bagi kepentingan sendiri seperti dalam kes tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia.

“Selain itu, kami telah membincangkan tentang undang-undang Anti-SLAPP pertama yang bakal diwujudkan di UK.

“Ia bermatlamat untuk melindungi mana-mana pihak daripada tindakan individu atau syarikat yang menggunakan sistem undang-undang secara tidak wajar untuk mengganggu, menakut-nakutkan dan meletihkan pihak lawan daripada segi kewangan atau psikologi,” katanya hari ini.

Dalam perkembangan sama, Azalina memberitahu, usaha kerjasama dan perkongsian ilmu antara Malaysia dan UK mengenai Kajian Empirikal pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga turut dibincangkan.

“Saya telah memaklumkan bahawa Kajian Empirikal berdasarkan keterangan (evidence-based research) yang mengambil kira ‘Shawcross Principle’ dan ‘Doctrine of Independent Aloofness’ akan dijalankan di UM pada tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI