fbpx

Jangan tanya, komen sakit, itu satu doa – Dayang Nurfaizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Dayang Nurfaizah ditemui semasa sidang akhbar Konsert Ajai and Megafriends hari ini. Foto MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR — Kelihatan kurus dan cengkung, penyanyi Dayang Nurfaizah meminta orang ramai menghentikan spekulasi dirinya sedang sakit.

Ujar Dayang atau nama lengkapnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43, keadaan fizikal terkininya disebabkan konsisten aktif bersenam dan menjaga kuantiti pemakanan.

“Kalau boleh saya minta kepada orang ramai, kalau betul sayang saya, janganlah komen tanya sama ada saya sakit, sebab itu macam satu doa.

“Alhamdulillah sihat sahaja. Cuma saya memang nak cantik dan kekal bertenaga. Contoh kalau ada konsert atau persiapan album memang saya akan diet tapi saya makan apa saja dan lepas itu saya bersenam.

“Itu memang cara saya dan berat saya 45 kilogram (kg) pun normal dengan tinggi saya. Saya juga melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala,”katanya kepada Kosmo! Online.

Disoal kondisi vokalnya yang dikatakan sedikit ‘sakit’ ketika persembahan dalam Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) sekali gus megundang kebimbangan peminat, Dayang bertegas, dia hanya manusia biasa yang tidak pernah lari daripada membuat kesilapan.

“Setiap penyanyi akan melalui fasa tertentu, begitu juga saya. Saya berterima kasih kepada peminat yang ambil berat tentang keadaan vokal saya. Jujurnya saya juga risau namun suara saya tiada masalah.

“Tak ada penyanyi masa menyanyi tidak mahu melakukan yang terbaik. Vokal ini macam otot, kalau terlebih guna akan terjejas namun saya akan kawal dengan jumpa doktor.

“Saya manusia, meskipun sudah berpuluh tahun menyanyi, akan ada masa yang tidak okey dan situasi itu berlaku pada malam AJL tempoh hari,” katanya pada sidang media Konsert Ajai and Megafriends, di sini, hari ini.

Terdahulu, wajah serta badan Dayang yang kelihatan cengkung dan kurus meraih perhatian ramai sehingga ada yang mendakwa penyanyi asal Sarawak itu sedang sakit.

Persembahannya pada AJL38 juga mengundang kebimbangan apabila kedengaran penat dan berkemungkinan sedang menghadapi masalah vokal. — KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI