fbpx

Helikopter terhempas: Pesawat berjaya dibawa naik untuk tindakan lanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Helikopter milik Maritim Malaysia yang terhempas di perairan Pulau Angsa berjaya di bawa naik semalam sebelum dibawa ke SUMS untuk tindakan lanjut.

PUTRAJAYA- Helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang telah melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, Klang telah berjaya dibawa naik dari laut kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, pesawat itu berjaya dibawa naik menerusi bantuan pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi sebelum dihantar berlabuh di jeti Pelabuhan Klang.

Katanya, ia seterusnya dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada pukul 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

“Sementara itu, empat kru yang terlibat dalam insiden berkenaan dilaporkan stabil dan selamat.

“Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard ditetapkan oleh Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Jelasnya, Maritim Malaysia turut memohon agar kesemua kru terbabit diberikan ruang dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak bagi tujuan menstabilkan keadaan setelah melalui kejadian itu.

Dalam perkembangan berkaitan, helikopter AW139 merupakan salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang telah diterima pada 2010.

Mencatat rekod hampir lima ribu jam penerbangan, helikopter terbabit telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan operasi seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, Op Redback dan lain-lain.

Mengulas lanjut, katanya, pesawat tersebut juga banyak terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan Maritim Malaysia.

“Antara pencapaian AW139 M72-01 sepanjang melakukan tugasannya ialah pesawat berjaya menyelamat lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada tahun 2022 iaiti tiga batu nautika daripada lokasi insiden.

“AW139 M72-01 juga merupakan pesawat yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan ‘force boarding’.

“Terbaharu ialah kejayaan dalam membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI