fbpx

Vida tak tahu premis kulit ikan salmon disita, sedia beri kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida tidak tahu-menahu tentang serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas premis perniagaan miliknya yang mengusahakan kerepek kulit ikan salmon sehingga melibatkan sitaan berjumlah RM88,582.50.

Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 53, ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi terpinga-pinga ketika diajukan persoalan berhubung perkara terbabit.

“Saya tak tahu apa-apa. Saya baru bangun tidur dan baru pulang dari oversea (luar negara).

“Buat masa sekarang, saya kena ambil tahu apa sebenarnya yang terjadi. Saya kena baca dulu apa laporan media berhubung dakwaan yang awak maklumkan pada saya ini,” katanya.

Bagaimanapun, pelantun lagu I Am Me itu bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa anda benar ada melakukan kesalahan.

“Saya sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disoal siasat. Takkan saya nak lari pula.

“Tapi, sekarang saya tak tahu sangat tentang serbuan yang diadakan sebab ketika kejadian, saya tiada di tempat serbuan,” ujarnya lagi.

Hari ini, Kosmo! Online melaporkan sebuah premis yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi produk makanan ringan di Kawasan Perindustrian Jelapang di Ipoh, Perak diserbu KPDN semalam dengan nilai sitaan diperoleh ketika operasi itu mencecah hampir RM90,000.

Serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak bermula pukul 11 pagi itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan oleh pihaknya berhubung aktiviti memproses makanan di kawasan tersebut yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah.

Pengurus premis terbabit turut gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakuan oleh pihak berkuasa apabila diminta oleh pihak KPDN.

Satu tindakan kes telah diambil dengan tindakan menyita semua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, balang plastik yang tertera logo halal dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kes disiasat kerana melanggar Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 8 (a) perintah yang sama.

“Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan,” kata Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.

Tambah beliau, produk makanan ringan itu dijual secara dalam talian dan mendapat sambutan oleh ramai pengguna.

“KPDN menasihati serta menyeru kepada setiap peniaga dan pengusaha supaya mematuhi perundangan yang berkuat kuasa termasuk mendapatkan perakuan halal yang sah daripada agensi kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI