fbpx

Polis nafi tolak permohonan Himpunan Hari Wanita empat kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen ketika sidang akhbar Majlis Sumbangan Peralatan Persekolahan Murid darjah 1 Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. Foto SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menafikan kenyataan penganjur perhimpunan Hari Wanita Sedunia yang mendakwa polis menolak notis pemakluman yang dihantar sebanyak empat kali.

Ketuanya, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, hanya borang pemakluman tidak lengkap dihantar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Women’s March Malaysia (WMMY)kepada pihaknya, Jumaat lalu.

“Mereka dakwa ada empat kali dihantar tetapi kita hanya terima notis pertama dia hantar dan tidak lengkap.. 2,3,4 itu tidak tahu hantar mana. Kalau kita buat permohonan, perlu penuhi 14 perkara dalam borang terbabit (notis pemakluman).

“Kalau kamu (penganjur) isi sembilan sahaja, yang lain palang dan edit (pinda), borang itu tidak sempurna,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sumbangan Peralatan Persekolahan Murid Darjah 1, Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurut Allaudeen, sebarang pemakluman berhubung penganjuran perhimpunan perlu dilakukan mengikut undang-undang ditetapkan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 .

Jelasnya, semua pihak yang ingin berhimpun perlu menyerahkan notis pemakluman iaitu borang dalam jadual.

“Bukan uar-uarkan dalam Facebook, WhatsApp dan tempek di dinding.Ini notis secara sah, pemakluman. Bukan permit, dah lama tidak wujud. Ada orang ramai keliru dengan sebut permit, kemudian dakwa polis cakap permit.

“Kita tak pernah kata permit. Bila polis kata tidak boleh bagi permit sedangkan ia tidak wujud. Kami tidak boleh bagi sesuatu yang tidak ada dalam undang-undang iaitu permit sebab ia sudah dimansuhkan di bawah akta polis,” katanya.

Dalam pada itu, kata Allaudeen, semua pihak mempunyai hak berhimpun di bawah Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan iaitu menjamin kebebasan orang ramai untuk berhimpun.

Bagaimanapun, mengikut Perkara 8, perlembagaan sama ada menyatakan hak sama rata.

“Jadi, apabila semua orang ada hak berhimpun ada juga ornag lain hak kepentingan lain. Tanggungjawab polis memastikan selain himpunan berjalan aman , tidak ganggu kehidupan orang lain, ini mustahak.

“Jadi sila beri kerjasama. Semua nak menganjur perlu bekerjasama dengan pihak polis. Apa juga awak dah WhatsApp, emel ke, undang-undang tidak terpakai begitu,” katanya.

Kelmarin, WMMY mendakwa pihaknya berusaha empat kali, pada 2 dan 3 Mac, untuk memohon kebenaran mengadakan perhimpunan namun ditolak tanpa sebarang alasan.

WMMY diadakan setiap tahun sempena Hari Wanita Sedunia dijadual diadakan pada Sabtu ini berhampiran pusat beli-belah Sogo di sini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI