fbpx

Tak ramai calon OKU mohon kerja kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengisian orang kurang upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam bagi tempoh 10 tahun iaitu dari tahun 2014 hingga 2023 masih belum mencapai sasaran satu peratus seperti ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara punca dikenal pasti adalah peratusan permohonan pekerjaan dalam sektor awam oleh calon OKU kurang satu peratus berbanding permohonan keseluruhan calon.

“Sebagai contoh, data daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan dari tahun 2019 hingga 2023, hanya 0.3 ke 0.64 peratus sahaja jumlah permohonan yang diterima daripada calon OKU,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung statistik 10 tahun terkini peratusan pekerja OKU dalam sektor awam sejak diperkenal Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam kepada OKU pada tahun 1988,

Zaliha seterusnya memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menjalankan Kajian Kepuasan Bekerja Dalam Kalangan Penjawat Awam OKU.

Menurut beliau, hasil daripada kutipan data mengenal pasti beberapa cabaran utama yang dihadapi sepanjang perkhidmatan penjawat awam OKU.

“Pertama, keupayaan dan kompetensi penjawat awam OKU dalam menyesuaikan diri dengan penyelia, rakan sekerja dan persekitaran organisasi di mana mereka berkhidmat.

“Kedua, sering merasa tertekan dengan tuntutan kerja dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik disebabkan keupayaan mereka yang terbatas.

“Ketiga, aspek penerimaan Ketua Jabatan untuk menyediakan sokongan dan kemudahan yang diperlukan bagi penjawat awam OKU,” katanya.

Justeru, kata beliau, Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam kepada OKU itu akan ditambah baik daripada segi pelaksanaannya pada masa hadapan.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa komited dan responsif terhadap isu-isu semasa yang dihadapi penjawat awam OKU untuk keluar dan pulang bekerja dengan selamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI