fbpx

Kalau sedih, saya ‘langgar’ tujuan tulis lagu – Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aina Abdul tetap bersyukur walaupun sekadar menang tempat ketiga pada AJL38 hujung minggu lalu.

KUALA LUMPURBiarpun tidak dapat mempertahankan kejuaraan yang diraih pada Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi lalu, penyanyi Aina Abdul tetap bersyukur diangkat sebagai pemenang ketiga acara berprestij tersebut.

Menurutnya yang mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Jangan Mati Rasa Itu, kejayaan meraih kedudukan tiga teratas, trofi Vokal Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa merupakan pencapaian yang patut dibanggakan.

“Bagi saya AJL adalah satu pentas untuk meraikan pengkarya muzik, malah secara peribadi saya merasakan ini adalah AJL yang paling akan saya ingati sampai bila-bila.

“Apatah lagi pada tahun ini, kita dapat lihat penyertaan lagu-lagu daripada pelbagai genre yang seharusnya sesuatu keistimewaan untuk kita raikan dalam industri muzik Malaysia.

“Jika katakan saya sedih sebab dapat tempat ketiga, itu maksudnya saya tidak bersyukur dan bertentangan dengan tujuan saya menulis lagu,” katanya.

Secara keseluruhan pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 30, itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM54,000 dan trofi daripada ketiga-tiga kemenangan.

Sebanyak RM30,000 adalah menerusi ganjaran sebagai pemenang ketiga di belakang Sutera dendangan Aisha Retno yang menduduki tangga kedua serta Hasrat nyanyian Amir Jahari selaku juara keseluruhan AJL38.

Manakala Vokal Terbaik yang turut dipertahankan sejak tiga edisi berturut-turut serta hadiah Penyanyi Pilihan Alha Alfa, masing-masing menawarkan ganjaran sebanyak RM12,000 setiap satu.

Pada masa sama, Aina juga tidak ketinggalan melahirkan rasa apresiasi kepada seluruh pasukannya yang merealisasikan persembahan berkonsepkan ‘tree of life’ dan elemen tergantung pada ketinggian 30 kaki.

“Kejayaan ini bukan untuk saya seorang sahaja, sebaliknya pasukan Aina Abdul membabitkan 80 orang yang merealisasikan persembahan ini selain peminat. Kemenangan ini untuk pasukan Jangan Mati Rasa Itu.

“Terima kasih juga kepada pihak TV3 yang banyak beri saya ruang dan peluang untuk berkarya kerana tidak jemu beri saya semangat melakukan konsep yang saya sukai saban tahun.

“Kalau kita ada semangat jitu dan karya yang ingin dipertaruhkan tapi tak dapat sokongan daripada pihak lain pun susah juga nak berkarya,” ujarnya.

Mengenai gaun berhias seakan-akan ranting kayu sentuhan pereka Melinda Looi, Aina berkata, persalinan yang turut menyaksikannya terapung pada ketinggian 30 kaki itu dihasilkan dalam tempoh dua minggu.

“Semua ini adalah hasil kerjasama seluruh pasukan sekitar 80 orang manakala pokok, kayu, dedaun kering dan semua dipaparkan atas pentas hasil kreativiti seorang pereka.

“Gaun motif ranting ini adalah sentuhan pereka yang faham kehendak saya iaitu Melinda Looi sehingga dia tak sempat beraya ,(Tahun Baharu Cina) siapkan kostum istimewa itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI