fbpx

‘Ibu ayah, tergamak kamu buang aku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jumaat lalu rahsia anak pasangan pegawai perubatan di Kemaman, Terengganu yang disimpan sejak setahun lalu terbongkar.

Pelajar perempuan berusia 22 tahun itu ditahan selepas menyembunyikan kelahiran bayi lelaki yang terhasil daripada hubungan terlarang dengan kekasihnya.

Lebih malang apabila bayi yang tidak berdosa itu mati dan ibunya ditahan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerana mengalami pendarahan serius. Dia kini direman.

Kes pembuangan bayi bukanlah kejadian yang asing dalam negara ini. Ia boleh terjadi kepada anak sesiapa sahaja kerana nafsu sukar dikawal sekiranya gagal dalam membentuk sahsiah tulen sebagai seorang mukmin.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 256 kes buang bayi direkodkan dari tahun 2020 hingga 2022 dan jumlah itu sudah tentu meningkat jika ditokok dengan kejadian-kejadian terbaharu.

Selain buang bayi, ketika ini menjadi trend pula meninggalkan anak di pusat kebajikan atau tahfiz oleh ibu bapa yang tidak bertanggungjawab.

Alangkah luluh hati si anak apabila mengetahui dirinya bagaikan dibuang keluarga yang seolah-olah tidak ingin melihat atau menjaganya lagi.

Kisah seorang anak berusia 14 tahun yang merayu kepada mudir pusat tahfiz untuk mencari ibu bapanya benar-benar meruntun jiwa kita sekiranya dia jenis insan yang mengerti dengan istilah kasih sayang.

Kerinduan remaja tersebut kepada keluarganya semakin memuncak apabila kesemua rakan-rakannya sudah pulang ke kampung halaman ketika musim cuti sekolah sedangkan dia bersendirian di asrama.

Perkongsian di media sosial mengenai kisah remaja itu mendapat perhatian netizen dan pihak berkuasa sehingga ada yang mahu mengambilnya sebagai anak angkat.

Begitulah manusia. Ada yang mudah mendapat anak tetapi gagal menjaga amanah yang telah diberikan dan ada pula pasangan yang mencuba pelbagai kaedah kerana terlalu inginkan zuriat setelah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga.

Keadaan itu mengingatkan kita kepada kisah seorang ulama hadis bernama al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani r.a yang mengarang kitab Bulugh al-Maram khusus untuk anak lelakinya.

Seperti yang diceritakan oleh guru kami, Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin, Ibnu Hajar mengarang kitab yang menghimpunkan hadis Nabi SAW supaya anak lelakinya itu menghafal setiap nas dan rijal yang ada di dalam kitab tersebut.

Begitulah kasih sayang yang sepatutnya ditunjukkan oleh ibu bapa. Menjaga amanah yang diberikan dan bukannya menjadi pembunuh atau orang yang tidak bertanggungjawab walau dengan apa jua alasan.

Anak-anak ialah pembuka pintu rezeki buat kita. Lihat sahaja bagaimana kisah Luqman al-Hakim bersama anak lelakinya dinukilkan di dalam al-Quran sebagai pedoman untuk umat Islam dalam soal pendidikan.

Pengurusan anak bukan sahaja memerlukan kepada keupayaan dari segi tenaga dan wang tetapi kebijaksanaan dalam menguruskan kehidupan turut dituntut selagi kita diberikan peluang menghirup pelbagai nikmat kurniaan Tuhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN