fbpx
AHMAD AFIQ bergambar bersama karya-karyanya yang berupa mercu-mercu tanda yang dibentuk daripada kolaj yang dihasilkan daripada carikan-carikan cetakan not kertas mata wang-mata wang dunia antaranya dolar, ringgit, yuan, paun, franc, lira dan lain-lain.

Hasilkan 18 karya mercu tanda global guna mata wang dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI mereka yang pernah melalui zaman kanak-kanak sekitar tahun 90-an pasti pernah bermain permainan Monopoly.

Monopoly merupakan papan permainan hartanah berdadu yang secara tidak langsung mengajar pemainnya mengendalikan wang dan aset.

Ahmad Afiq Md. Sebari, 27, turut memiliki kenangan bermain permainan itu ketika zaman kanak-kanaknya.

“Permainan Monopoly ini adalah nostalgia zaman kanak-kanak saya. Begitu juga buat mereka yang lain di luar sana.

“Melalui permainan Monopoly, saya memahami akan konsep keuntungan dan sebagainya,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Disebabkan itu, Ahmad Afiq mengangkat nostalgia zaman kanak-kanaknya itu dalam pameran solo bertajuk ‘Monopoli’.

Pameran yang diadakan di Galeri Artas di Kota Damansara, Selangor itu menampilkan 20 karya seni bertemakan permainan Monopoly yang dihasilkan oleh Ahmad Afiq sendiri.

Dia yang merupakan graduan bidang seni halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menterjemahkan permainan tersebut pada setiap ‘layaran’ kanvas dengan penuh artistik.

Menurutnya, karya yang diterjemahkannya itu adalah berkaitan elemen peribadi dan umum melalui pemerhatian serta pembacaannya mengenai isu-isu semasa.

“Dari segi elemen peribadi, permainan Monopoly ini adalah kenangan saya ketika zaman kanak-kanak.

“Manakala untuk elemen umum, ia adalah berkaitan pemerhatian saya di negara kita.

“Misalnya, berlaku sistem monopoli dalam kehidupan masyarakat kita.

“Saya melihat di Malaysia, golongan atasan dan berduit akan memonopoli dalam satu-satu perkara,” jelasnya.

AHMAD AFIQ menggunakan gam khas untuk melekatkan wang yang telah dicarik pada kanvas.

Pameran itu juga menjadi satu bentuk ulasan mendalam sambil mengungkap nuansa kuasa, nilai mata wang dan evolusi kehidupan sosial manusia yang dikongsi bersama.

Menariknya, setiap karya yang dihasilkan itu mewakili mercu tanda dan simbol-simbol sesebuah negara.

“Untuk pameran ini, saya menghasilkan 18 lukisan dan dua arca.

“Lukisan yang dihasilkan adalah mercu tanda dan simbol untuk sesuatu negara.

“Antaranya, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas dan Menara Merdeka 118 yang mewakili Malaysia.

“Saya juga menghasilkan mercu tanda seperti Burj Khalifa yang terletak di Emeriyah Arab Bersatu, Tembok Besar China (China), Hagia Sophia (Turkiye), London Bridge (United Kingdom), Statue of Liberty (Amerika Syarikat) dan lain-lain lagi,” jelasnya.

Menariknya, setiap karya dalam pameran tersebut dihasilkan menggunakan teknik kolaj dengan mencantum cetakan mata wang dunia (bukan duit sebenar) yang dikoyak lalu dibentuk mengikut imej dikehendaki.

Antara mata wang terlibat ialah ringgit, yen, yuan, dolar Amerika Syarikat, dolar Kanada, dolar Australia, lira, paun Mesir dan lain-lain.

Dia mencetak mata wang negara yang menempatkan setiap mercu tanda, sebelum dicarik dan dilekatkan.

Misalnya, Ahmad Afiq mencetak dolar Amerika Syarikat bagi menghasilkan karya Statue of Liberty dan yuan untuk Tembok Besar China.

Dalam setiap karya, dia ‘membedah’ konsep di sebalik mata wang dengan terperinci, mengubah maksudnya melampaui sekadar medium pertukaran.

Mengulas lanjut, Ahmad Afiq mengakui, dia perlu melalui proses yang panjang untuk menghasilkan karya-karya tersebut.

Ujarnya, dia mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan semua karyanya untuk pameran solo tersebut.

“Untuk menghasilkan karya-karya ini, saya perlu mengoyak wang yang telah dicetak terlebih dahulu.

“Kemudian, saya perlu susun dan melekatkannya dengan menggunakan gam di atas kanvas dan tunggu ia kering terlebih dahulu.

“Semasa proses melekatkan mata wang ini, ia harus dilakukan secara berhati-hati.

“Rutin ini sangat mencabar buat saya. Jika letak gam terlebih, ia akan memberi kesan kepada warna wang yang dicetak itu,” terangnya.

Biasanya, Ahmad Afiq akan menyiapkan dua hingga tiga karya pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, dia menjelaskan, setiap karya dihasilkan itu merupakan suara bagi menjawab isu-isu mendesak pada masa kini.

Pameran solo Ahmad Afiq menjadi dialog visual mengenai keseimbangan yang terancam dalam sistem ekonomi dan norma hidup mencabar, sekali gus menunjukkan kerapuhan keseimbangan berkenaan.

Dia juga menggambarkan penstrukturan sosial melalui kolaj bersulam dan dikupasnya satu persatu bagi mendedahkan hubungan kompleks antara manusia dengan kuasa serta wang dengan struktur ekonomi.

Pada masa sama, Ahmad Afiq menjelaskan, pameran itu juga dikaitkan dengan permainan Monopoly.

“Ketika terfikir akan idea ini, saya cuba jadikan galeri sebagai papan permainan Monopoly.

“Setiap lukisan di dalam ruang galeri ini mewakili kotak-kotak dalam papan Monopoly, manakala pengunjung menjadi lambang buah catur yang bergerak,” terangnya.

Mengulas lanjut tentang pameran itu, Ahmad Afiq berkata, dia gembira kerana diberi peluang untuk mengadakan pameran solo pertamanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia banyak menyertai pemeran secara berkumpulan sejak melibatkan diri secara serius dalam industri seni kira-kira empat tahun lalu.

“Ini adalah satu pencapaian buat saya apabila berpeluang mengadakan pameran solo.

“Saya gembira kerana pihak galeri yakin dengan kemampuan saya dan menawarkan tempat untuk mengadakan pameran solo ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN