fbpx

Dewan Rakyat: 107,716 kes penipuan dalam talian sejak tahun 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 107,716 kes kes penipuan dalam talian yang melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM3.2 bilion dilaporkan dari tahun 2020 hingga 2023.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, kerajaan tidak memandang rendah isu penipuan dalam talian dan tindakan menyeluruh sedang dan akan terus diambil.

Menurut beliau, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dengan kerjasama industri telekomunikasi turut membantu mengesan nombor telefon yang didapati terbabit atau disyaki berkaitan dengan penipuan dalam talian.

“Setakat Januari tahun ini, sebanyak 131 nombor talian ditamatkan kerana terbabit aktiviti penipuan dan 93 nombor talian meragukan telah disekat.

“Nombor berkenaan juga akan direkodkan dalam sistem semak Polis Diraja Malaysia sebagai panduan untuk orang awam membuat semakan sebelum meneruskan transaksi kewangan mereka,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) berhubung jumlah kerugian akibat jenayah scammer dari tahun 2020 hingga 2023 dan tindakan kerajaan membanteras scammer secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Kulasegaran memaklumkan, akta baharu sedang dirangka kerajaan bagi meningkatkan keselamatan digital dan membanteras penipuan dalam talian.

Menurut beliau, akta baharu tersebut akan turut mengambil kira tindakan sewajarnya kepada institusi perbankan sekiranya didapati berlaku unsur kecuaian.

Jelas beliau, melalui akta baharu berkenaan, pihak bank tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab jika didapati menjadi punca kepada kes penipuan dalam talian.

“Saya berpendapat bank perlu bertanggungjawab. Pihak bank tidak boleh mengelak daripada diambil tindakan.

“Jika ada mana-mana bank yang telah atau sedang buat demikian, rujuklah kepada agensi yang berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI