fbpx
Seorang pengunjung teruja melihat keunikan Surau Buluh di Kampung Banggol Tiang Kulat, Kuala Nerus kelmarin.

Surau pertama di Asia dibina guna buluh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Surau Buluh yang terletak di Kampung Banggol Tiang Kulat di sini yang diperbuat daripada buluh menjadikan tarikan terbaharu bagi pengunjung luar ke daerah ini terutama menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.

Pengarah Bahagian Pembangunan Industri MTIB, Abdul Rafa Tan berkata, surau yang mula dibina pada tahun 2021 itu merupakan rumah ibadat Islam pertama di Asia yang diperbuat daripada bahan berasaskan buluh.

“Surau Buluh ini dibina sebagai projek kajian dan pembangunan (R&D) Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk mempromosi buluh sebagai bahan binaan.

“Hampir 80 peratus struktur binaan diperbuat daripada buluh, manakala baki 20 peratus pula menggunakan konkrit iaitu pada bahagian tapak dan tembok asas pemegang tiang utama bangunan,” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Rafa berkata, empat jenis buluh digunakan untuk pembinaan surau unik iaitu betong, semantan, brang dan mata rusa.

Jelas beliau, apa yang menariknya apabila kesemua spe­sies buluh tersebut terdapat di Terengganu.

“Penggunaan buluh pada struktur utama surau ini memberi keunikan pada reka bentuknya yang memaparkan keindahan warisan seni bina tradisional Melayu.

“Surau yang seluas lebih 232.26 meter persegi ini boleh memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa,” katanya.

Abdul Rafa berkata, Surau Buluh mempunyai kubah terbuka yang boleh ditutup dengan din­ding mudah buka.

Beliau berkata, surau ber­kenaan turut dilengkapi kemudahan ruang wuduk, tandas, pejabat dan stor simpanan.

“Selain sebagai rumah ibadat untuk penduduk setempat, Surau Buluh juga bakal menjadi tarikan pelancongan terbaharu di Terengganu.

“Pengurusan surau pula telah diserahkan kepada Pejabat Ta­nah dan Daerah Kuala Nerus baru-baru ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN