fbpx

SPRM lancar 17 kenderaan khas, mantapkan operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Urusan Smart Aim Sdn. Bhd., Dr Wan Aminah Wan Hassan (kiri) memberi penerangan mengenai SPV kepada Azam (kanan) pada majlis Penyerahan Kenderaan SPV SPRM di Kelab Tasik Putrajaya hari ini. -Foto SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan sebanyak 17 buah kenderaan khas (SPV) dalam usaha memantapkan operasi organisasi itu di seluruh negara.

Kesemua aset terbaharu tersebut dari jenama Weststar Maxus V80 telah dihasilkan dalam tempoh tiga bulan bertujuan membawa Orang Kena Tahan (OKT).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPV ini dilengkapi sistem teknologi terkini dan ia merupakan kenderaan pertama diguna pakai oleh agensi penguatkuasaan di negara ini.

“SPV ini telah difabrikasi dengan ciri-ciri keselamatan dari segi pengiringan OKT ke mahkamah selain dilengkapi dengan sistem pengawasan televisyen litar tertutup (CCTV) yang canggih dengan sistem kamera 360 darjah.

“Sistem CCTV ini boleh dipantau secara terus dari Ibu Pejabat walaupun kenderaan tersebut berada di negeri.

“Pada masa yang sama, ia turut dilengkapi dengan alat pengesan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS)sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ke atas kenderaan ini,” katanya pada majlis Penyerahan Kenderaan SPV SPRM di Kelab Tasik Putrajaya, hari ini.

Tambah beliau, antara lain sistem teknologi yang terdapat pada SPV ini merupakan sistem komunikasi berpusat, walkie talkie dan run-flat tyre.

Dalam pada itu, Azam berkata, daripada 16 buah kenderaan itu, 14 akan diserahkan kepada setiap negeri dan dua akan ditempatkan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Manakala sebuah lagi kenderaan persenjataan, akan diserahkan kepada Bahagian Keselamatan bagi kegunaan Cawangan Persenjataan bertujuan pengangkutan senjata dan peralatan berkaitan,” ujarnya.

Sementara itu, dengan adanya pengagihan SPV ini ke SPRM negeri, ia akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan kenderaan yang sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan membawa OKT ke mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI