fbpx

Pandu kereta ke balai lepas ditikam sekumpulan lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GOMBAK – Seorang lelaki memandu ke balai polis dalam keadaan berlumuran darah selepas diserang dan ditikam sekumpulan individu tidak dikenali di kolam ikan Bandar Country Homes, di sini, 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan diterima kira-kira pukul 6.48 petang.

Katanya, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu hadir dalam keadaan berlumuran darah ketika membuat laporan di Balai Polis Bandar Country Homes, di sini.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika mangsa berada dalam kereta di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudiannya diserang tiga lelaki tidak dikenali menggunakan senjata tajam sebelum berjaya melarikan diri ke balai polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Ariffin, mangsa yang mengalami kecederaan itu dibantu anggota polis bertugas dan dibawa dengan ambulans ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Mangsa disahkan mengalami kecederaan pada bahagian tangan, belakang badan serta bahu.

“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI