fbpx

Nur Hanim jana pendapatan lumayan dengan buat kek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR HANIM menunjukkan kek yang dihasilkannya.

SIAPA sangka bermula sekadar suka-suka menyediakan tempahan kek untuk rakan terdekat dan pensyarah ketika menuntut di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), kini Nur Hanim Mansor, 30, berjaya membuka sebuah kedai kek sendiri.

Malah, graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kejuruteraan itu juga sanggup menolak tawaran kerja sebagai pengurus kilang di Johor selepas tamat pengajian sekitar 2014.

Ini kerana, anak sulung daripada dua beradik itu ingin memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaan kek diusahakannya.

Pemilik Hanimlicious Bakery di Kangar, Perlis itu berkata, selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, dia terus fokus membuat kek dari rumah bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, dia sememangnya sangat minat membuat kek yang akhirnya menjadi sumber pendapatan.

Ujar Nur Hanim, terdapat pelbagai jenis kek dijual di kedai yang beroperasi sejak tahun lalu itu, selain menyediakan kek mengikut tempahan pelanggan.

“Setiap bulan, ratusan kek terjual dengan pendapatan pula mencecah lima angka sebulan.

“Alhamdulillah, permintaan terhadap kek di kedai saya sentiasa ada setiap hari.

“Kami juga menyediakan pelbagai jenis rekaan kek yang pelanggan mahukan dan menjanjikan kepuasan kepada mereka,” katanya kepada Aura.

Tambah Nur Hanim, tempahan yang sering diterima membabitkan ulang tahun kelahiran dan majlis perkahwinan di sekitar Perlis dan Kedah.

Katanya, harga kek yang dijual pula serendah RM30 hingga RM3,500 termasuk membabitkan penyediaan kek lima tingkat.

NUR HANIM merupakan pemilik kedai kek, Hanimlicious Bakery di Kangar, Perlis.

Ujarnya, meskipun bukan bekerja dalam bidang kejuruteraan, namun tekadnya mengusahakan perniagaan sendiri berjaya membuahkan hasil lumayan.

“Saya memang minat buat kek. Pada mulanya, saya belajar sendiri dengan menyediakan tempahan daripada rakan-rakan terdekat dan pensyarah di universiti.

“Bermula secara kecil-kecilan, sebelum berusaha mengembangkan perniagaan ini. “Alhamdulillah, perniagaan kek ini semakin berkembang pesat dari hari ke hari.

“Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, saya juga dibantu oleh tiga orang pekerja,” katanya.

Tambah Nur Hanim, antara kek yang mendapat tumpuan adalah kek tornado, custom kek dan pelbagai jenis lagi kek mengikut permintaan pelanggan.

ANTARA kek untuk majlis hari lahir yang dihasilkan.

Sementara itu, berkongsi kenangan manis sepanjang beberapa tahun berniaga, Nur Hanim memberitahu, dia pernah menerima tempahan kek daripada Raja Muda Perlis dan beberapa lagi selebriti tempatan.

“Jujur saya tidak sangka golongan kenamaan dan bangsawan juga sudi menempah kek yang saya hasilkan.

“Ia penghargaan terbesar buat saya, sekali gus menjadikan saya lebih bersemangat untuk memajukan bisnes diusahakan,” ujarnya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, dia meletakkan sasaran untuk membawa jenama kedai keknya itu di beberapa pasar raya sekitar Perlis.

“Dalam masa terdekat belum ada cadangan menambah cawangan.

“Bagaimanapun, usaha berkenaan mungkin untuk tempoh jangka panjang selepas ini.

“Cuma apa yang saya sasarkan ketika ini adalah untuk membawa masuk jenama kek saya ke pasar raya sekitar Perlis dulu.

“Ini bagi membolehkan lebih ramai orang mengenali jenama Hanimlicious Bakery,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI