fbpx

Padang Datuk Arumugam penghormatan buat legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMARAN (kiri) dan Shankar berbangga Datuk R. Arumugam bergambar bersama di Padang Datuk Arumugam di Pelabuhan Klang. FOTO: ABDUL RAZAK IDRIS

KLANG – Waris dan anak didik mendiang Datuk R. Arumugam bangga jasa penjaga gol legenda itu mengharumkan nama negara dalam sukan bola sepak diiktiraf dengan kewujudan Padang Datuk Arumugam bernilai RM2.5 juta di Pelabuhan Klang.

Menurut adik lelaki Arumugam iaitu R. Kumaran,57, yang pernah bermain posisi sama di peringkat kelab, perubahan nama padang sintetik daripada Padang Pekeliling pada 2018 kepada nama abang sulungnya itu amat membanggakan keluarganya.

“Lebih membanggakan padang ini terletak tidak jauh dari rumah keluarga kami dan ia menjadi lokasi abang saya mengasah bakat sebagai pemain bola sepak terutama di posisi penjaga gawang.

“Jasa abang bukan sahaja sebagai pemain bola sepak Selangor, kelab dan negara, malah menjadi pembimbing pemain muda di kawasan Pelabuhan Klang,” katanya. 

Tambahnya, Arumugam bukan sahaja dianggap sebagai jurulatih bola sepak, malah menjadi idola kepada kebanyakan pemain muda pada era 80-an sehingga meninggal dunia akibat kemalangan kereta pada 18 Disember 1988 ketika usia 35 tahun.

Jelasnya lagi, dengan adanya padang tersebut, legasi sebagai pemain bola sepak akan diteruskan oleh generasi muda yang ingin mengikut jejak Arumugam mewakili Malaysia.

“Abang saya aktif di peringkat kelab sebelum bakatnya dihidu oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris. Tanpa menoleh ke belakang, abang  terus bermain di pelbagai peringkat hingga namanya harum sehingga kini,” ujar Kumaran.

Sementara itu, jurulatih bola sepak, G. Shankar, 56, yang berasal di kawasan sama berkata, penamaan Padang Datuk Arumugam adalah satu penghormatan dan legasi yang ditinggalkan mendiang untuk menjadi motivasi kepada generasi muda.

Beliau berkata, sebagai anak didik dan kenalan mendiang, jasa Arumugam amat besar dan sukar dilupakan dirinya dan semua pemain yang pernah bermain di padang berkenaan.

“Ini disebabkan mendiang bukan sahaja seperti abang kepada saya dan kawan-kawan, tetapi beliau juga pembimbing yang tidak jemu bercerita tentang bola sepak selain memberi panduan kepada anak muda untuk bermain bola sepak dengan sistematik.

“Apabila Arumugam meninggal, saya dan rakan-rakan amat terasa kehilangannya dan kelibatnya memberi arahan serta nasihat masih dirasakan hingga saat ini,” katanya.

Jasa Arumugam sungguh besar antaranya membantu pasukan negara memenangi Pestabola Merdeka pada 1973, 1974, 1976, 1979 dan 1986.

Kejayaan terbesar beliau bersama skuad kebangsaan adalah memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran selain melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980, tetapi Malaysia membuat keputusan untuk memboikot temasya berkenaan ketika itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI