fbpx
Dalton mendakwa bayaran yang dikenakan wajar kerana dia melakukan cucian dengan begitu teliti melibatkan 61 peringkat pencucian yang mengambil masa sehingga dua minggu. Dia juga melakukan imbasan menggunakan instrumen ultrasonik selepas cucian selesai bagi memastikan cucian betul-betul sempurna.

Khidmat basuh kereta paling lumayan, dibayar RM30,000 satu cucian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBANYAKAN kita yang memiliki kenderaan sendiri tidak akan mengeluarkan belanja besar untuk menghantar kereta ke pusat cucian.

Malah, ada yang menganggap cucian kereta sesuatu yang boleh dilakukan sendiri.

Namun begitu, bagi golongan elit di Britain, mereka sanggup membayar sehingga £5,000 (RM30,285) kepada seorang lelaki yang pakar mencuci kenderaan untuk membersihkan kereta mewah mereka.

Bahkan, hasil perkongsian oleh detailingworld.co.uk, ada perkhidmatan cuci keretanya yang mengenakan bayaran sehingga £7,000 (RM42,331).

Paul Dalton, 45, dikenali sebagai pencuci kereta dengan bayaran termahal di dunia apabila mengambil upah lebih RM30,000 untuk sebuah kenderaan.

Jejaka kelahiran Surrey, tenggara London itu berkata, harga yang dikenakan itu bersesuaian dengan hasil kerjanya.

Jadi, tidak hairanlah, bayaran yang dikenakan sangat tinggi.

“Pelanggan saya terdiri daripada mereka yang terkaya di negara ini.

“Saya juga mempunyai pelanggan dari negara-negara lain di sekitar Eropah.

“Salah seorang pelanggan saya dari Prague (Republik Czech) juga sanggup memandu kenderaannya ke kedai cucian saya, Miracle Details untuk mendapatkan khidmat cucian.

“Saya juga pernah dihubungi dan diminta datang ke Singapura untuk melakukan kerja-kerja mencuci kereta di sana,” kongsinya seperti dipetik dalam laporan akhbar Daily Mail.

Berita mengenai servis cuci kereta yang mahal oleh Dalton sebenarnya telah tersebar sejak 2006, namun baru-baru ini ia semakin banyak dikongsikan di media sosial.

Pencahayaan ekstrem 8,000 watt digunakan untuk mengesan calar.

Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada para pemilik kereta mewah.

Sesetengah pihak mendakwa, selepas dicuci, kereta menjadi ‘lebih baharu’ daripada semasa membelinya.

Tambah menarik, berdasarkan laman web Miracle Details, Dalton mengendalikan servis cuci kereta secara berseorangan sehingga kini.

Ini kerana, dia tidak percaya orang lain mampu melakukan sebaiknya.

Dia tidak ada pembantu, setiausaha mahupun pengurus.

Di dunia ini, tidak ada individu lain yang mempunyai kesungguhan dan obses mencuci kereta setandingnya.

“Saya adalah pencuci kereta terbaik di dunia,” ungkapnya kepada Guardian.

Dalton minat mencuci kereta sejak berusia 13 tahun. Asalnya, dia mahu mendapatkan duit untuk menjadi penunggang motosikal bukit profesional.

Dia yang gilakan kesempurnaan semakin obses mencuci kereta sehingga mendalami jenis cat kereta dan kerja-kerja mengecat kenderaan.

Apa yang menjadikan servis cucian Dalton cukup mahal adalah kerana dia menggunakan tekanan air berbeza-beza pada setiap bahagian dicuci.

Dia juga memilih suhu air yang tepat dan hanya menggunakan wax atau bahan pengilat yang dibuat sendiri.

Malah, bahan pengilat dihasilkannya yang dikenali sebagai Zymöl itu cukup berkualiti tinggi dengan harga satu botol lebih RM30,000.

“Ia dihasilkan dengan menggunakan 73 peratus carnauba wax dari sebuah hutan di Brazil.

“Hasilnya, kereta kelihatan seperti baru keluar dari kilang dan cucian juga kekal selama setahun,” ujarnya.

Tambah Dalton, sekitar tiga sudu besar Zymöl diperlukan untuk mengilat sebuah kereta.

Selain harga yang dianggap tidak masuk akal, durasi cucian kereta Dalton juga cukup mengejutkan.

Dia mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan sebuah kereta.

dalton yang mementingkan kesempurnaan begitu teliti dalam melakukan kerja-kerjanya.

Berbeza dengan teknik cucian biasa, Dalton mencuci kereta pelanggannya dengan menggunakan 61 peringkat.

Antaranya termasuk menjirus kereta menggunakan air suling bersuhu 30 darjah Celcius, membasuh bahagian bawah kenderaan dengan syampu dan air suam, selain mengelap permukaan kereta dengan menggunakan tuala mikrofiber.

Dia juga menggunakan cecair khusus untuk menghilangkan kesan calar pada kenderaan dan memberikan efek kilauan pada tayar kenderaan.

Beberapa teknik cucian turut dilakukan secara berulang kali bagi memastikan hasilnya cukup mengagumkan.
Dalton akan memulakan kerja mencuci ketika matahari terbit.

Sebelum mula mencuci, Dalton akan menjirus kenderaan tersebut dengan menggunakan air yang dipanaskan pada suhu 30 darjah Celcius terlebih dahulu.

Menurutnya, suhu tersebut sesuai untuk permukaan kereta tanpa merosakkannya.

Dia kemudiannya akan menggunakan semburan kereta dengan bau sitrus yang berfungsi untuk menghilangkan lapisan kotoran pada bahagian luar kenderaan.

“Saya akan membasuh kenderaan sebanyak empat kali dengan menggunakan empat jenis span basuhan berbeza bagi menghilangkan kotoran.

“Selepas berpuas hati dengan basuhan itu, saya akan mengeringkan kereta menggunakan tuala mikrofiber sebelum membersihkannya lagi dengan menggunakan bar tanah liat.

“Ia bagi menghilangkan kotoran dan kesan getah pokok yang mungkin melekat pada permukaan kereta,” katanya.

Langkah seterusnya, Dalton akan mengukur ketebalan cat kereta dengan menggunakan satu alat khas sebelum memulakan proses menghilangkan kesan calar.

Bagi mengesan calar dan kotoran, dia dikatakan menggunakan pencahayaan ekstrem 8,000 watt dan mikroskop forensik profesional serta mengakhirinya dengan membuat imbasan menerusi instrumen ultrasonik.

Dia turut mencuci bahagian dalam kenderaan secara terperinci.

Biarpun bisnes Dalton popular dan diterima ramai, namun tidak kurang juga yang mengutuk tindakan lelaki itu mengenakan caj melampau.

“Jika saya perlu membayar wang sebegitu banyak untuk khidmat cuci kereta, saya tidak akan pernah memandu kereta itu ke mana-mana lagi,” komen seorang pengguna internet.

“Saya juga boleh mencuci kereta sebersih ini dan mungkin hanya mengenakan caj sekitar AS$100 (RM477),” tulis seorang pengguna media sosial.

Biarpun dikritik, namun salah seorang bekas pelanggan yang pernah menggunakan khidmat Dalton untuk sebuah kereta Rolls Royce memberitahu, caj dikenakan cukup berbaloi.

“Saya pernah menggunakan khidmat Dalton dan sejujurnya ia amat berbaloi kerana tiada sesiapa yang mencuci kereta sebaiknya.

“Kebanyakan daripada pelanggan juga akan memberikan wang tip kepada Dalton kerana berpuas hati dengan hasil kerjanya.

“Dia merupakan seorang lelaki yang benar-benar mengambil berat tentang kerjanya,” kongsi lelaki yang hanya dikenali dengan Nightbird itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN