fbpx

‘Siapa tak dengar cakap, saya gantung daripada masuk dewan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Berlaku kekecohan sewaktu perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – “Saya boleh gantung anda sampai enam bulan, saya akan guna, kali ni saya akan guna. Sesiapa juga yang tak dengar cakap saya, saya akan guna. Jadi hati-hati sebab saya kena uruskan semua ni,” tegas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi meredakan kekecohan sewaktu sesi perbahasan Titah Diraja hari kedua hari ini.

Keadaan kecoh bermula selepas Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) membuat pendedahan bahawa beliau didakwa diugut oleh beberapa pihak supaya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berikutan itu, beberapa Ahli Parlimen di blok kerajaan antaranya Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), Chong Zhemin (PH-Kampar), RSN Rayer (PH-Jelutong), Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) dan Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mempersoalkan kenyataan Wan Saiful.

Mereka turut mencadangkan Wan Saiful supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut dan bukannya membuat kenyataan di Dewan Rakyat.

“Tuduhan kurang ajar, tuduhan serius, memesongkan rakyat, hina dewan ini,” antara yang didengari sewaktu sesi Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama, Johari mengeluarkan penegasan mengenai tindakan menggantung masuk ke Dewan Rakyat selepas arahan beliau tidak dipatuhi sekali gus mahu meredakan kekecohan tersebut.

“Tasek Gelugor, ini adalah kenyataan yang tidak baik. Saya beri amaran, tarik balik sebab untuk tuduh orang korup dalam keadaan tidak ada bukti. Saya beri amaran sekarang tarik balik.

“Kita bergerak ke hadapan, kalau tak setuju pergi polis atau SPRM, biarkan mereka siasat. Anda cerita-cerita, siapa boleh sahkan?,” katanya tegas yang kemudian Wan Saiful akur menarik balik kenyataannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI