fbpx
LUCILLA menunjukkan beberapa aksesori seni manik tradisi semasa terlibat dalam satu pameran seni di Kuala Lumpur baru-baru ini. – FARIZ RUSADIO

Nafas moden aksesori manik Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELIHAT kecantikan aksesori manik tradisi hasil kerja tangan nenek dan ibunya telah membuatkan Lucilla anak Awen Jon jatuh cinta dengan seni warisan suku kaumnya itu.

Sejak kecil, dia juga kerap mengenakan aksesori tersebut sebagai perhiasan diri terutama ketika menghadiri majlis keraian.

Merupakan wanita Bidayuh-Jagoi, Lucilla, 39, menyifatkan aksesori manik tradisi suku kaumnya itu membawa erti yang mendalam buat dirinya.

“Sejak usia lapan tahun, saya sudah jatuh cinta dengan seni pembuatan aksesori manik tradisi dan turut belajar membuatnya daripada ibu dan nenek.

“Seni ini bukan sekadar tradisi turun-temurun tetapi juga menjadi pengikat memori antara tiga generasi yang sama-sama belajar dan meneruskan legasi warisan keluarga kami,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambah wanita berasal dari Kampung Sibuluh, Bau, Sarawak itu, kerana rasa cinta yang mendalam, dia mengembangkan lagi usaha pembuatan seni manik tradisional masyarakat Bidayuh-Jagoi menerusi perusahaan sosial Pungu Borneo sebagai langkah melestarikan kraf warisan itu.

Aksesori manik tradisi Sarawak merupakan antara peninggalan warisan turun-temurun yang sehingga kini masih dihasilkan masyarakat di kawasan itu.

Menurut portal iloveborneo.my, di Sarawak, seni kraf manik cukup terkenal sehinggakan kemahiran menggubah seni tradisi ini amat dihargai orang di Bumi Kenyalang. Ia turut menjadi salah satu bukti peradaban manusia yang wujud sejak berpuluh ribu tahun lalu.

Keunikan seni manik diolah dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna. Sememangnya seni warisan manik ini telah diamalkan dan dibudayakan dalam kehidupan masyarakat peribumi Sarawak seperti Bidayuh, Kelabit, Iban, Kayan dan Kenyah dengan fungsi manik berbeza-beza mengikut etnik.

Bukan sekadar menjadi perhiasan, setiap aksesori mengikut suku kaum membawa nilai sejarah tersendiri.

Berkongsi kisah tentang aksesori manik kaum Bidayuh, Lucilla memberitahu, dahulu kala pemakaian aksesori seperti rantai tradisi tidak boleh dipakai oleh golongan biasa, melainkan golongan borih (pendeta).

“Tujuan pemakaian aksesori tradisional ini adalah untuk upacara penyembuhan, penyembahan dewa padi, gawai dan pemberkatan sawah padi.

“Oleh sebab itu, golongan biasa tidak boleh memakai rantai leher kerana membawa maksud yang tidak elok.

“Golongan borih pula hanya akan mendapat ‘panggilan’ daripada ‘dewa- dewa’ di alam lain melalui mimpi untuk dipanggil jadi kelompok borih,” ujarnya.

Jelasnya, meskipun sejarah pemakaian aksesori manik berkait dengan kepercayaan masyarakat, ia kini telah menjadi perhiasan diri yang digayakan oleh semua golongan.

Dalam usahanya melestarikan kraf aksesori manik tradisi, Lucilla mengetengahkan kraf manik merangkumi aksesori tradisional, kontemporari dan moden hasil tangan individu serta komuniti.

Kongsinya yang memulakan perusahaan sepenuh masa pada Ogos 2016, mengkarya kraf tradisi ini merupakan suatu yang subjektif kerana tidak semua cara pembuatannya sama.

“Saya sendiri menggunakan pelbagai teknik anyaman manik, sama ada moden atau tradisional, namun yang terbaik ialah gabungan kedua-duanya untuk dapatkan hasil lebih eksklusif.

“Pengkhususan seni yang saya sendiri lakukan adalah rantai tradisional masyarakat Bidayuh-Jagoi yang menggunakan tiga jenis manik iaitu manik halus gelas, manik gelas Dayak dan manik Jelai atau Dalai,” jelasnya.

Katanya, manik ini merupakan cara tradisi untuk mengolah rantai Bidayuh sebelum kedatangan manik gelas.

Antara rantai dan gelang tangan yang dihasilkan daripada manik.

Selain daripada itu, dia juga bergiat aktif dalam seni pembuatan manik seramik yang dipelajari daripada pakar seramik dan pasu di Kraftangan Malaysia Sarawak, Nabilah Abdullah.

Selain Lucilla, seorang lagi pengusaha aksesori manik tradisi, Danielle Lipung Lawai, 49, turut membawa warisan seni keluarganya dari suku kaum Kelabit.

Ceritanya, pada awal, dia yang sudah tahu menghasilkan aksesori manik tidak berminat dengan pembuatan aksesori manik, namun semuanya berubah pada tahun 2014.

“Ketika itu, ada sahabat saya seorang pembekal manik dari Indonesia sering ke rumah dan menumpangkan dagangannya bersama yang membuat saya ingin cuba-cuba menghasilkan aksesori.

“Oleh kerana sejak kecil sudah terdedah dengan pembuatan aksesori, hasil tangan saya itu disukai oleh rakan yang kemudian mencadangkan supaya memulakan perusahaan dalam talian,” kongsinya.

Sejak itu, Danielle bergiat aktif menghasilkan aksesori dan turut mengajak komuniti untuk bersama-samanya melestarikan seni warisan itu.

Ujar wanita asal Kampung Long Napir, Limbang itu lagi, dia yang membuat pelbagai aksesori antaranya rantai, gelang dan anting-anting turut menghasilkan perhiasan tradisi seperti rantai kabo, alai dan boo tulang.

Namun begitu, pada masa sama dia juga membuat perhiasan manik dengan rekaan kontemporari bagi menjadikan aksesori itu lebih moden dan terkini.

Berkongsi tentang nilai perhiasan manik, Danielle memberitahu, harga aksesori itu boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada penggunaan jenis manik atau asal usulnya.

“Dahulu manik dihasilkan daripada tanah liat atau seramik daripada pinggan pecah yang dileburkan, malah turut menjadi mata wang masyarakat dalam sistem barter untuk membeli makanan.

“Andai seseorang menyimpan aksesori manik yang dihasilkan oleh orang dahulu, nilainya lebih tinggi dan akan meningkat saban tahun kerana ia dianggap antik.

“Jika aksesori manik moden pula, harganya bergantung kepada jenis manik, rekaan dan penghasilannya,” katanya.

Sama ada tradisi atau moden, kedua-duanya mempunyai peminat tersendiri yang bukan sahaja diminati oleh golongan berusia malah orang muda.

Minat yang masih ada dalam diri peminat aksesori manik inilah yang menjadi bekal kepada Lucilla dan Danielle untuk meneruskan kelangsungan kraf warisan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN