fbpx

DUN Selangor: Banyak budak Selangor ditangkap terlibat merusuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Jenayah merusuh adalah kes paling tinggi dicatatkan di kalangan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun di Selangor, pada tahun lalu.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kes tangkapan merusuh mencatatkan 138 kes diikuti mencuri (112), mendatangkan cedera (87) dan rogol sebanyak 86.

Katanya, terdapat kira-kira 1.9 juta populasi kanak-kanak di negeri ini yang mewakili hampir satu pertiga penduduk di Selangor.

“Secara keseluruhannya, 588 orang kanak-kanak terlibat di bawah kesalahan jenayah pada tahun lalu.

“Manakala pecahannya, adalah 577 tangkapan bagi mereka yang berusia 13 hingga 18 tahun dan selebihnya 11 kes tangkapan untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Terdahulu, Mariam Abdul Rashid (PH- Meru) ingin mengetahui keselamatan dan perlindungan kanak-kanak termasuk dalam statistik kanak-kanak terlibat dalam jenayah di Selangor.

Menurut Anfaal yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, statistik PDRM turut menunjukkan sebanyak 190 kes pengabaian kanak-kanak berlaku di Selangor selain penderaan (156 kes) dan keganasan seksual (146 kes).

Tegas beliau, kerajaan negeri telah membangunkan Dasar Pembangunan Kanak-kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022 hingga 2025 yang telah dilancarkan pada Mei tahun lalu.

“Berdasarkan dasar tersebut, kita bermatlamat untuk mewujudkan golongan kanak-kanak terpelihara dari sudut hak, kebajikan, akses kepada sumber dan pembangunan potensi dengan mengambil kira peranan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pemimpin komunitI.

“Sembilan tindakan turut dirancang antaranya kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak polis untuk meningkatkan rondaan di sekitar kawasan taman permainan dan rekreasi kanak-kanak selain menempatkan pegawai keselamatan khusus bagi memantau kanak-kanak termasuk berkeperluan khas di tempat yang berisiko,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI