fbpx

Nur Imani perlukan RM90,000 secepat mungkin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NUR IMANI kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan kerana mengalami masalah kecatatan jantung.

SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri muda buntu me­ngenangkan nasib anak bongsu mereka yang berusia sebulan selepas dilaporkan kritikal apabila disahkan menghidap jantung kongenital kompleks.

Lebih membimbangkan, Siti Nur Imani Aafiyah Mohamad ­Sobri memerlukan dana sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung dan ia perlu dilakukan dengan segera.

Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Siti Nur Imani mempunyai masalah truncus arteriosus dengan kecacatan septum ventrikel (VSD) dan septum atrium (ASD) yang biasanya dikenali sebagai kecacatan jantung.

“Siti Nur Imani kurang satu saluran darah pada jantungnya sehingga dia tidak boleh bernafas secara semula jadi.

“Doktor memaklumkan pembedahan perlu dibuat secepat mungkin dalam tempoh dua minggu demi untuk menyelamatkan nyawanya,” kata­nya di sini semalam.

Disebabkan masalah kesihatan itu, ibu bapa Siti Nur Imani iaitu Mohamad Sobri Ahmad, 29, dan Siti Safila Shukri, 28, terpaksa berulang-alik dari rumah di Gurun, Kedah ke hospital setiap hari untuk melawat anak kedua mereka.

Siti Safila akan menghantar bekalan susu untuk bayinya yang kini bergantung dengan alat bantuan pernafasan di wad sejak dilahirkan sebulan lalu.

“Ibunya beritahu, semasa me­ngandung semuanya kelihatan normal, namun sewaktu dilahirkan, tangisan anaknya lemah sebelum doktor mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Sui Hau memberitahu, Nur Imani turut mengalami sianosis (bibir dan kuku kebiruan) dan sesak nafas selain didiagnosis me­ngalami radang paru-paru yang teruk selepas tiga hari dia dilahirkan.

Ibu bapa bayi itu bekerja sebagai operator kilang dengan gaji RM1,550 sebulan. Pasangan suami isteri tersebut mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia enam tahun.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi One Hope Charity and Welfare di talian 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 dan 018-911 4192 atau layari laman web onehopecharity.org.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI