SAUDARA PENGARANG,
PASTINYA semua kakitangan awam tersenyum lebar menerima ‘durian runtuh’ pada Jumaat lalu.
Insentif yang diberikan Kerajaan Madani itu melegakan penjawat awam yang kini sibuk membuat persiapan untuk sesi persekolahan baharu, menyambut Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, saya sebagai rakyat Malaysia yang kerap berurusan di pejabat kerajaan ingin menyampaikan sedikit teguran dan pesanan.
Saya harap ‘bonus’ ini dapat dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan ikhlas dalam ‘melayan’ pelanggan.
Jika waktu bekerja bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, saya merayu mereka menepati masa itu.
Saya sendiri pernah melalui pengalaman ini dan sudah pasti kelambatan itu mengganggu aktiviti pada hari tersebut.
Saya yakin ramai lagi yang turut melalui situasi sama.
Justeru, sempena bonus ini ayuh penjawat awam walaupun hanya segelintir berubahlah. Tingkatkan mutu perkhidmatan jabatan masing-masing. Laksana tanggungjawab yang diberikan.
Kerja biar ikhlas, walaupun majikan atau kakitangan lain tidak nampak, tetapi Allah nampak. Biarlah setiap duit gaji yang kita berikan kepada ahli keluarga itu datangnya daripada hasil yang berkat.
Che Husin
Selama, Perak
















