fbpx

1MDB: Empat negara tidak beri kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu terdapat empat buah negara yang tidak memberikan sebarang kerjasama dalam siasatan skandal penyelewengan dana terbesar negara.

Menurut Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, empat negara berkenaan ialah Switzerland, Hong Kong, Barbados dan Belanda.

Ujarnya, SPRM melalui Jabatan Peguam Negara telah memohon untuk merakamkan percakapan beberapa pegawai bank negara-negara berkenaan namun tidak menerima sebarang maklum balas.

“Permohonan kepada Switzerland dan Singapura dibuat pada 23 Ogos 2018, Barbados (6 Mac 2019) dan Hong Kong (22 Januari 2019),”katanya ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Tarikh-tarikh tersebut juga merupakan tarikh sama SPRM memohon untuk mendapatkan beberapa dokumen melalui MLA.

Berhubung saksi daripada Singapura, Nur Aida memberitahu terdapat seorang bekas pegawai bank daripada negara itu memberikan kerjasama untuk menjadi saksi dalam kes tersebut.

Individu tersebut ialah bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai, yang juga saksi pendakwaan ke-44 dan telah memberikan keterangan pada April 2023.

Bagaimanapun, bekas Pengarah Urusan Bank BSI, Yak Yew Chee enggan memberikan keterangan di negara ini.

Kata Nur Aida, Yew Chee telah dihukum penjara selama 18 minggu dan didenda S$24,000 oleh Mahkamah Singapura pada November 2016 selepas mengaku salah atas dua tuduhan gagal mendedahkan urus niaga mencurigakan berkaitan 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian dalam perbica­raan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 71, yang menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 ­bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Bank BSI merupakan anak syarikat milik penuh BSI SA, sebuah bank yang diasaskan pada 1873 dan beribu pejabat di Switzerland dan menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan swasta termasuk kemudahan dana fidusiari.

Bank tersebut mula disebut dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. membabitkan Najib ekoran ‘tugasnya’ memindahkan dana syarikat-syarikat terbabit dalam jumlah yang besar ke luar negara.

Kevin dalam keterangannya sebelum ini menyatakan, kakitangan di bank berkenaan sentiasa diletakkan dalam keadaan tertekan apabila menguruskan transaksi keluar masuk dana 1MDB dan turut menyifatkan transaksi-transaksi berkenaan sebagai mencurigakan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI