“JADI seperti air yang mengalir. Tidak kaku, tetapi berubah mengikut keperluan keadaan. Anda akan dapat tempuhi segala rintangan.” Kata-kata falsafah daripada legenda seni bela diri dunia, Bruce Lee masih kekal menjadi pegangan wanita berbangsa Cina itu dalam menjalani urusan sehariannya.
Biarpun tidak hidup sezaman dengan pelakon antarabangsa Hong Kong itu, namun Sienny Yong gemar menonton karya-karya Bruce Lee yang sering diulang tayang di kaca televisyen.
Oleh itu, dia sungguh teruja apabila mengetahui arca Bruce Lee setinggi 2.5 meter dipamerkan secara eksklusif di Resorts World Genting, Genting Highlands, Pahang.
Enggan melepaskan peluang yang datang sekali seumur hidup, pelukis persendirian itu membawa anak buahnya, Anna Yong untuk sama-sama menghadiri pameran tersebut.
Menurut Sienny, kesempatan menjadi antara insan pertama melihat arca yang dibuat khas untuk jelajah di luar Hong Kong itu perlu direbut.
“Saya teruja untuk melihat versi khas arca 2.5 meter yang diperbuat daripada tanah liat oleh artis tiga dimensi (3D) terkenal, Shannon Ma.
“Ia hampir serupa dengan arca gangsa ukiran pemahat veteran Cao Chong-en yang selama ini menjadi tarikan di Tsim Sha Tsui, Hong Kong sejak 2005,” katanya.
Arca gergasi Bruce Lee merupakan tarikan utama pameran Year Of The Dragon: Bruce Lee The First Tour yang berlangsung sejak 5 Februari hingga 14 April depan bertempat di Times Square Stage, SkyAvenue.
Arca tersebut menunjukkan gaya klasik ‘sedia menyerang’ Bruce Lee sama seperti yang dipamerkannya dalam filem Fist of Fury pada tahun 1972.
Pameran itu merupakan anjuran Resorts World Genting dengan kerjasama Thematic Legendary Kingdom dan Kelab Bruce Lee Hong Kong.
Turut hadir merasmikan pameran tersebut adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Lee Chin Chen.
Untuk pengetahuan, pameran bersempena Tahun Naga itu sesuai dengan nama pentas Bruce Lee dalam bahasa Cina yang bermaksud The Little Dragon.
Nama itu diberikan kepada Bruce Lee oleh bapanya ketika dia mula menempa nama sebagai pelakon kanak-kanak pada era 1940-an di Hong Kong.
Ia bersempena zodiak Cina tahun kelahirannya iaitu Tahun Naga.
Naib Presiden Kanan Taman Tema, Penyewaan dan Festival, Aaron Soo berkata, keupayaan Bruce Lee mempersembahkan falsafah di sebalik seni mempertahankan diri diterjemahkan dalam pameran tersebut.
“Bukan sahaja kerana namanya sesuai dengan Tahun Naga, malah keseluruhan pameran ini memiliki simbolik terhadap falsafah yang diselitkan Bruce Lee sepanjang hidupnya.

“Filem-filem Bruce Lee sarat dengan nasihat berguna dan kami paparkan secara tersurat serta tersirat melalui pameran ini,” jelasnya.
Ketika memasuki pameran tersebut, pengunjung didendangi dengan muzik tema daripada filem paling popular Bruce Lee iaitu Enter the Dragon.
Pada bahagian pertama pameran, pengunjung dipaparkan dengan kronologi kehidupan pelakon dengan nama asal Lee Jun-fan itu.
Kemudian, pengunjung dibawa untuk merasai babak cemas Bruce Lee dalam filem Enter the Dragon menerusi ruang cermin pelbagai dimensi.
Keadaan cermin yang mengelirukan itu sesuai dengan falsafah yang cuba disampaikan Bruce Lee pada babak akhir filem tersebut.
Falsafah itu berkenaan seseorang yang dapat mengatasi musuhnya sekiranya ilusi dicipta musuh tersebut dihapuskan.
Pada bahagian ketiga, pengunjung akan menemui tulisan kaligrafi gergasi bahasa Cina yang bermaksud ‘seni mempertahankan diri’.
Di sebelahnya ada papan dengan tulisan lebih kecil bermaksud ‘paling lemah di Asia’ yang diterbalikkan.
Pameran diinspirasikan daripada babak dalam filem Fist of Fury itu memiliki simbolik penting bagi masyarakat Cina pasca Perang Dunia Kedua.
Dalam filem itu, Bruce Lee mengalahkan ahli seni mempertahankan diri Jepun, sekali gus mengetepikan tomahan Negara Matahari Terbit itu terhadap masyarakat Cina.
Pengunjung juga berpeluang untuk mencuba Ip Man Wooden Dummy iaitu alat latihan tradisional untuk kung fu Wing Chun.
Kung fu Wing Chun yang dipelajari daripada maha guru Ip Man itu merupakan asas kepada seni mempertahankan diri Bruce Lee iaitu Jeet Kune Do.
Teknik-teknik di dalam Jeet Kune Do dipengaruhi oleh gaya dalam Wing Chun, taekwondo, tinju, lawan pedang dan jujutsu.
Di akhir pameran, pengunjung dapat melihat poster klasik filem lakonan Bruce Lee sepanjang bergelar seorang pelakon.
Sebelum tiba di pintu keluar, pengunjung dapat menghayati karya-karya cat tangan asli hasil Shannon Ma serta koleksi peribadinya.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Bruce Lee, W Wong akui, legasi bapa kepada dua orang anak itu bukan sahaja merentasi budaya, malah generasi.
Ujarnya, pengaruh Bruce Lee masih boleh dilihat dalam banyak filem, rancangan televisyen dan permainan video biarpun sudah 51 tahun meninggal dunia.
“Bruce Lee merupakan pelakon Asia-Amerika pertama yang mendapat peranan utama dan menjadi hero dalam sejarah perfileman Hollywood.
“Kejayaan beliau menyatukan budaya Barat dan Timur, sekali gus mendahului zamannya.
“Atas dasar itu, beliau (Bruce Lee) akan kekal relevan sampai bila-bila,” jelasnya.














