fbpx

Kerajaan negeri Perak fokus pelaksanaan 359 projek fizikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh semalam.

IPOH – Kerajaan Perak memberi tumpuan terhadap pelaksanaan 359 projek fizikal dengan peruntukan sejumlah RM1.28 bilion atau 83 peratus dari keseluruhan peruntukan di bawah Projek Persekutuan di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Projek Persekutuan di Perak berkenaan membabitkan 422 program atau projek pembangunan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion.

“Fokus utama kami terarah kepada pelaksanaan 359 projek fizikal dengan peruntukan sejumlah RM1.28 bilion atau 83 peratus dari keseluruhan peruntukan.

“Ini termasuk projek-projek utama seperti pembekalan kelengkapan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembelian bangunan, pembinaan baru, penyenggaraan, serta perolehan tanah,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata, sebanyak 63 projek lain yang berjumlah RM267 juta atau 17 peratus adalah projek bukan fizikal yang meliputi pembiayaan dana, program-program ICT, kajian serta program latihan.

Beliau memberitahu, Perak berjaya menyempurnakan projek berkenaan pada tahun lalu selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah baik keperluan pelajar melalui projek peningkatan dan penyelenggaraan kecil.

Menurutnya, ia membabitkan 795 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun lalu dengan peruntukan sejumlah RM55.65 juta.

“Selain itu, projek-projek pembangunan yang telah selesai pada 2023 adalah pembinaan Jambatan Bagan Datuk di Hilir Perak ke Kampung Sejagop di Perak Tengah; Politeknik Bagan Datuk selain asrama, dewan makan, surau, padang dan lain-Lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput.

“Turut selesai ialah kerja naik taraf Galeri Pangkor dan kemudahan pelancongan di Dataran Nelayan Pulau Pangkor,” katanya.

Saarani berkata, beliau turut dimaklumkan berkenaan pelaksanaan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial oleh Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) yang menyatukan semua agensi pemberi bantuan di bawah satu platform.

Beliau berkata, ia banyak membantu mempermudah golongan miskin tegar dalam mendapatkan bantuan yang mereka perlukan.

“Keberhasilan program ini dibuktikan dengan penurunan jumlah miskin tegar dalam data eKasih sebanyak 58 peratus, daripada 9,402 Ketua Isi Rumah pada 31 Januari 2023 kepada hanya  3,911 Ketua Isi Rumah pada 31 Disember 2023,” katanya.

Saarani memaklumkan, kesemua perkara itu dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) di sini semalam bersama ketua jabatan Negeri dan Persekutuan yang bertujuan mengukuhkan pemantauan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Perak supaya berjalan mengikut garis masa ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI