fbpx

Ammar turun pangkat kerana tidak ‘perform’ – King Sing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
King Sing. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PETALING JAYA – Bekas Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan (Tourism Malaysia), Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar diturunkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Pengarah berikutan prestasinya yang tidak memuaskan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Ammar bukan dipecat seperti didakwa, sebaliknya turun pangkat kerana dilihat tidak mempunyai rancangan atau idea untuk menambah baik sektor pelancongan negara.

“Saya sudah bagi banyak kali peluang dan nasihat kepada dia termasuk oleh timbalan saya apa patut dibuat yang terbaik untuk pelancongan negara. Apabila anda tidak boleh ‘perform’ saya mesti tukar. Tukar saja, bukan pecat. Turun pangkat sahaja.

“Saya bagi dia peluang sebab dia mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dalam pelancongan, tetapi apabila dia menjalankan tugas tidak membuktikan itu PhD. Tidak boleh rancang apa-apa. Tengok Thailand boleh dapat 10 juta pelancong dari negara China sahaja, mengapa kita (cuma) dapat 1.2 juta?

“Saya sudah maklumkan, misalnya pelancong China lima juta masuk, dia kata boleh tiga juta, (tetapi) tiga juta pun tak sampai,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Kraf di ibu negara hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, tular sebuah notis penamatan pelantikan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bertarikh 22 Februari lalu memaparkan khidmat Ammar ditamatkan berkuat kuasa 26 Februari ini.

Penamatan itu dilaporkan selaras dengan peruntukan subsekyen 10(1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 dibaca bersama dengan peruntukan seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

King Sing berkata, tindakan itu juga diambil kerana pihaknya menerima aduan bahawa Ammar tidak melakukan libat urus bersama negeri-negeri.

Beliau berkata, Ammar akan pencen pada Mac tahun depan, tetapi untuk kebaikan industri pelancongan, beliau tidak boleh biarkan keadaan itu berlarutan lebih lama.

Justeru, King Sing menafikan tindakan yang diambil terhadap Ammar adalah salah guna kuasa apatah melibatkan isu rasis atau agama.

Sebaliknya, kata beliau, proses dalaman sudah diambil pihak Tourism Malaysia dengan beliau hanya menandatangani surat berkenaan.

Katanya, pihak kementerian sudah mempunyai calon pengganti Ammar yang juga merupakan individu daripada Tourism Malaysia.

“Memandangkan anda tak boleh ‘perform’, siapa boleh saya beri. Siapa tak boleh turunlah bagi peluang kepada orang lain. Itu sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI