fbpx

Pelajar sekolah agama berasrama penuh di Perak dilarang makan, minum guna botol, bungkusan plastik – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin bertitah ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa sekolah-sekolah agama berasrama penuh di negeri ini diarahkan untuk tidak membenarkan para pelajar menggunakan minuman dan makanan dalam botol dan bungkusan plastik.

Baginda bertitah, dunia kini diancam dengan impak negatif ke atas alam sekitar akibat penggunaan plastik sekali guna yang tidak terkawal.

Titah baginda, kebanyakan bahan plastik tidak akan musnah sepenuhnya, sebaliknya hanya terurai kepada partikel lebih kecil yang dikenali sebagai microplastics yang kini ditemui dalam organ-organ dalaman manusia.

“Kesan jangka panjang microplastics ke atas kesihatan manusia dan alam sekitar perlu diberikan perhatian serius. Atas kesedaran tersebut Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah merintis usaha untuk meminimumkan penggunaan plastik sekali guna.

“Sekolah-sekolah agama berasrama penuh di negeri Perak, diarahkan untuk tidak membenarkan para pelajar menggunakan minuman dan makanan dalam botol dan bungkusan plastik,” titah baginda ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, inisiatif MAIPk dan JAIPk menerapkan budaya mengurangkan penggunaan plastik sekali guna hendaklah dijadikan contoh oleh semua jabatan dan agensi di Perak.

“Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia, masjid, surau, rumah-rumah ibadat, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), sewajibnya mendidik dan menyemaikan kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk mengamalkan budaya hidup lebih sihat dengan mempergiatkan kempen Tidak Menggunakan Plastik Sekali Guna dalam kalangan rakyat Beta,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI