fbpx

Mati diikat, dipukul: Mangsa positif dua jenis dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian lelaki yang maut diikat dan dipukul sehingga maut di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selasa lalu.

PETALING JAYA – Polis mengesahkan lelaki yang diikat dan dipukul sehingga maut dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang pada Selasa lalu positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu diketahui hasil laporan bedah siasat terhadap mayat lelaki berusia 42 tahun tersebut semalam.

“Semakan mendapati si mati mempunyai 10 rekod dadah selain dikehendaki atas kesalahan dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, Hussein memberitahu, pihaknya menahan dua lagi individu berusia 22 dan 39 tahun di Kajang semalam.

“Akan ada lagi suspek yang akan ditahan. Kita juga menerima laporan yang dibuat oleh dua pemilik kenderaan yang terbabit dalam kemalangan tersebut.

“Difahamkan, ketika kejadian, mangsa melanggar dua kenderaan sebelum meninggal dunia dipercayai akibat dipukul,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian itu selepas bedah siasat mendapati tiada kecederaan jelas pada mangsa yang menyebabkan kematian.

Tambah Hussein, saksi kejadian diminta supaya tampil bagi membantu siasatan.

“Kita akan melihat penulisan orang ramai di media sosial berkaitan kes itu sekiranya boleh dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Pada masa sama, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak menokok tambah dan mereka cerita berkaitan kes ini.

“Ini kerana ia akan memberi kesan terhasap siasatan polis selain mendatangkan kegusaran kepada orang ramai,” kata beliau.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang lelaki maut disyaki dipukul dan diikat selepas terbabit kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2 pada Selasa lalu.

Ketika kejadian, mangsa memandu kereta Proton Saga.

Mangsa ditemui tidak bernyawa dalam keadaan terbaring atas jalan dan terdapat kesan pergelangan tangan seperti diikat.

Susulan itu, pihak polis menahan lima lelaki berusia 22 hingga 52 tahun bagi membantu siasatan pada Rabu lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI