fbpx

Allahyarham Taib Mahmud selamat disemadi bersebelahan pusara isteri, Laila Taib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Toh Puan Raghad Kurdi Taib menabur bunga mawar di pusara suaminya, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam upacara pengebumian di tanah perkuburan keluarganya di Demak Jaya, Jalan Bako.

KUCHING – Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud selamat dikebumikan di tanah perkuburan keluarganya di Demak Jaya pada pukul 2.20 petang tadi.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 88 tahun dikebumikan bersebelahan pusara isteri pertama, Puan Seri Laila Taib.

Cuaca hujan turut menyelubungi upacara pengebumian tokoh politik Sarawak itu, selain suasana hiba dengan tangisan ahli keluarga Allahyarham serta hadirin.

Sebelum jenazah Allahyarham Abdul Taib dimasukkan ke dalam liang lahad, upacara penyerahan bendera Sarawak dibuat kepada keluarganya yang diterima isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Dua anak lelaki Allahyarham, Mahmud Abu Bekir Taib dan Sulaiman Abdul Rahman Taib turut serta menyambut jenazah bapa mereka sewaktu diturunkan ke dalam liang lahad.

Usai selesai bacaan Talqin yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memulakan upacara menyiram air dan menabur bunga mawar atas pusara Allahyarham.

Upacara itu kemudian diikuti anakandanya, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah.

Ia disusuli oleh Raghad dan keempat-empat anak Allahyarham iaitu Jamilah Hamidah, Mahmud Abu Bekir, Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah Hajar.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, timbalan-timbalannya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta kenamaan-kenamaan lain.

Sebelum itu, jenazah Abdul Taib disolatkan di Masjid Demak, Jalan Bako selepas diberi penghormatan terakhir oleh rakyat di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Dalam perjalanan jenazah Abdul Taib dibawa ke Masjid Demak, kedengaran sebanyak 87 das tembakan meriam dilepaskan daripada 12 laras meriam yang diaturkan di sepanjang jalan dari DUN ke Masjid Demak sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Upacara itu melibatkan seramai lima pegawai dan 60 anggota lain-lain pangkat Rejimen Ke-8 Artileri Diraja.

Allahyarham Abdul Taib meninggal dunia pada pukul 4.40 pagi semalam di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dipercayai akibat komplikasi kesihatan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI