fbpx
Pergantungan terhadap penggunaan alatan AI generatif dibimbangi boleh menghalang keupayaan pelajar berfikiran secara kritis. – Gambar hiasan

K2

Sisi positif, negatif guna AI generatif di universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM tempoh kurang dari setahun, teknologi kecerdasan buatan generatif (AI generatif), seperti ChatGPT (Generative Pretraining Transformer), Google Bard, Bing Chat dan lain-lain telah menjadi fokus utama bagi kebanyakan universiti di seluruh dunia.

Teknologi melibatkan kitaran pertanyaan (prompt) yang dijana manusia dan jawapannya pula dijana AI ini membawa kepada pelbagai aplikasi berpotensi dalam pendidikan tinggi.

Pelajar boleh menggunakan alatan ini bagi penyelidikan, penciptaan kandungan dan pelbagai tugasan akademik, manakala kakitangan pentadbiran boleh gunakannya untuk menulis laporan dan menganalisis data.

Pensyarah fakulti pula boleh menggunakan AI generatif untuk mempercepatkan perancangan pelajaran dan pembangunan bahan.

Persoalan pokok sekarang ialah sama ada AI generatif merupakan trend ikut-ikutan sementara atau menjadi faktor kritikal dalam memastikan kejayaan sesebuah universiti secara jangka panjang?

Fenomena penggunaan AI generatif ini perlu ditangani sebaik-baiknya oleh pemegang taruh universiti.

AI generatif boleh ditakrifkan sebagai teknik AI generatif yang ‘belajar’ daripada data untuk mencipta kandungan unik, seperti imej, video, muzik, pertuturan dan teks, sambil mengekalkan persamaan dengan data asal.

Pengenalan AI generatif dalam universiti memberikan peluang dan cabaran kepada para pensyarah dan pelajar. Komuniti akademik telah menunjukkan minat yang semakin mendalam pada penggunaannya.

Salah satu objektif utama pengintegrasian AI generatif dalam pendidikan adalah untuk mencipta kandungan. Walaupun berpotensi membawa banyak kelebihan, namun ia juga menimbulkan kegusaran berkaitan integriti akademik.

Setakat ini, belum ada satu garis panduan etika yang mampu merangkumi secara komprehensif pertimbangan etika berkaitan dengan kemunculan AI generatif ini.

Pertimbangan ini merangkumi pelbagai isu, termasuklah kebimbangan integriti akademik, privasi data, pelanggaran hak cipta, ketaksamaan dalam akses kepada teknologi, kesan kepada alam sekitar dan amalan pekerjaan yang eksploitatif.

Universiti perlu membangunkan polisi dan program kesedaran kepada pelajar tentang penggunaan teknologi Ai generatif yang beretika dan produktif. – Gambar hiasan

Jelas sekali, AI generatif ini bukan sekadar alatan bantu biasa, tetapi satu alatan yang membawa implikasi yang ketara, baik secara positif mahupun negatif.

Pokok perbincangan utama AI generatif dalam universiti ialah potensi pelajar untuk menyelesaikan tugasan bertulis seperti kertas projek dan tesis. Walaupun alat bantu sedemikian bermanfaat, para pensyarah bimbang kebergantungan kepada teknologi ini boleh menyebabkan pelajar ‘tumpul’ sifat-sifat fitrah kemanusiaan seperti kemahiran berfikir, membuat keputusan secara logik dan rasional.

Selain itu, penggunaan kandungan yang dijana AI generatif mampu menimbulkan kemungkinan eksploitasi plagiarisme yang merupakan isu serius dalam dunia akademik. Juga, terdapat risiko kandungan yang dijana AI mungkin mengandungi maklumat yang salah dan boleh mengelirukan para pelajar sendiri.

Penggunaan teknologi AI generatif oleh pelajar universiti membawa banyak perkembangan positif, namun ia juga mendatangkan isu negatif seperti isu penipuan dan etika.

Kebimbangan ibu bapa, para pensyarah dan pemegang taruh universiti mengenai privasi dan keselamatan data apabila menggunakan alatan AI menghasilkan impak besar kepada ekosistem universiti.

Realitinya ialah polisi dan peraturan universiti yang mengawal privasi data dan harta intelek tidak bergerak seiring dengan percambahan pesat aplikasi AI.

Salah satu potensi pengeksploitasian alatan AI generatif ialah pelajar menggunakannya untuk menghasilkan kandungan bertulis atau idea yang kemudian mereka akan tuntut sebagai karya asli mereka.

Oleh itu, adalah amat penting bagi pelajar menggunakan alatan ini dengan cara yang bertanggungjawab.

Cabaran seterusnya ialah potensi pelajar untuk menjadi terlalu bergantung kepada alatan AI generatif yang akhirnya boleh menghalang keupayaan mereka berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah secara bebas.

Adalah penting bagi pelajar untuk menggunakan alat bantu ini sebagai pelengkap dan bukannya meletakkan pergantungan sepenuhnya.

Adalah penting bagi universiti untuk mempunyai garis panduan dan peraturan yang jelas, melindungi data pelajar dan melindungi privasi mereka.

Penyepaduan AI generatif dalam pendidikan tinggi berkemungkinan mengubah bilik kuliah konvensional, sama seperti penggunaan komputer dan internet yang mula-mula muncul satu ketika masa lalu.

Kecerdasan buatan tidak boleh dan tidak akan menggantikan peranan pensyarah, kerana pelajar akan sentiasa memerlukan bimbingan para pensyarah dalam mengemudi teknologi AI secara bertanggungjawab.

Kejayaan integrasi AI dalam pendidikan sepatutnya bergantung pada strategi atau polisi yang melindungi privasi pelajar dan menegakkan integriti akademik.

Bagi menangani perkara ini, banyak universiti telah mula melaksanakan dasar yang bertujuan menyekat penggunaan tidak wajar oleh pelajar dan kakitangan.

Universiti perlu membangunkan polisi dan program kesedaran kepada para pelajar tentang penggunaan teknologi AI generatif yang beretika dan produktif.

Ini melibatkan pertimbangan etika dalam menggunakan teknologi seperti mengelakkan plagiarisme dan memetik sumber dengan betul serta mengajar mereka cara menggunakan teknologi secara produktif seperti menggunakan chatbots dan model bahasa untuk menjana idea dan inspirasi untuk karya asal mereka.

Di samping mendidik pelajar tentang penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dan produktif, ia juga penting dalam menyediakan pendidikan komprehensif yang merangkumi kemahiran berfikir kritis, kemahiran menyelesaikan masalah dan komunikasi yang berkesan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN